Bapa pelakon remaja nafi bersikap keji terhadap anak

BANDAR BAHARU: Bapa kepada pelakon remaja perempuan yang didakwa bersikap buruk dan mencabul anaknya, menegaskan beliau masih berfikiran waras dan mempunyai pegangan agama.

Lelaki berusia 44 tahun itu dalam laporan polis yang buatnya juga mendakwa, yang beliau sebagai bapa tidak pernah terlintas melakukan perbuatan keji terbabit terhadap anak perempuannya itu.

Menurut sumber, lelaki berkenaan tampil membuat laporan polis, Ahad lalu, selepas beliau menerima panggilan daripada seorang rakan yang memberitahu anak perempuannya ada mengeluarkan kenyataan serta tuduhan terhadapnya sehingga tular di media sosial.

“Dalam laporannya, lelaki itu mendakwa dia dimaklumkan oleh rakannya berhubung kenyataan berbentuk tuduhan yang dilemparkan terhadapnya itu pada jam 10 pagi ketika berada di rumah.

“Lelaki terbabit dalam laporan polis memberitahu, anaknya itu yang juga seorang pelakon mengeluarkan kenyataan berbentuk tuduhan mengatakan dia cuba melakukan perkara tidak senonoh dan beberapa lagi perkara buruk terhadapnya,” katanya.

Terdahulu, seorang pelakon berusia 15 tahun yang dijemput dalam satu program temu bual di YouTube, ketika berkongsi mengenai kisah hidupnya pendedahan mengejutkan mengenai sikap sebenar bapa kandungnya, yang didakwa suka menonton filem lucah.

Menerusi temu bual itu, pelakon itu turut mendakwa bapanya melakukan gangguan seksual terhadapnya, mengajak anak perempuannya itu menonton video lucah bersama-sama, selain turut bersikap buruk terhadap ibunya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Mohd Akmal Hizam Abd Khupur, mengesahkan menerima laporan polis daripada bapa pelakon terbabit.

“Ya, hasil semakan mendapati kita ada menerima laporan polis yang dibuat bapa pelakon berkenaan pada 4.15 petang, Ahad lalu.

“Bagaimanapun, laporan yang dibuat itu hanya ‘covering report’, selain dia mahu menafikan segala tohmahan dan tuduhan yang dilemparkan anaknya itu terhadapnya,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker