KKBSe jalin kerjasama strategik

Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad hadir merasmikan Karnival Komuniti @KKBSe dan menyaksikan Majlis Menandatangani Sijil Kolaborasi Strategik di Bagan Serai, Perak, baru-baru ini.

 

Oleh Rohana Man



KUALA LUMPUR – Kolej Komuniti Bagan Serai (KKBSe) mengukuhkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi menambah baik dan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran menerusi peluang-peluang terbaharu yang diperkenalkan.

Kerjasama itu dijalankan dengan empat pihak termasuk agensi kerajaan dan sekolah menengah dalam daerah Kerian dan sekitar Bagan Serai, Perak.

Majlis Menandatangani Sijil Kolaborasi Strategik dan perasmian Karnival Komuniti@KKBSe baru-baru ini telah disempurnakan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Noraini dalam ucapan perasmian majlis berkenaan berkata, kolej komuniti bukan sahaja menyediakan peluang buat anak-anak lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan golongan belia menambah kemahiran, tetapi juga untuk semua golongan tidak kira usia melalui kursus-kursus pembelajaran sepanjang hayat yang ditawarkan.



Menurutnya, tambahan ilmu dan kemahiran yang diberi pastinya dapat membantu masyarakat untuk meningkatkan taraf hidup.

Justeru, katanya, Karnival Komuniti @KKBSe seperti ini adalah medan terbaik untuk masyarakat setempat mendapatkan maklumat lanjut dan mencari kursus-kursus yang sesuai untuk memajukan diri.

Menurut Noraini, setiap institusi yang dibina pastinya mempunyai keistimewaan dan juga kelebihan yang tersendiri, termasuklah kolej komuniti.

“Saya harap dengan adanya inisiatif seperti ini, ia dapat membantu masyarakat menambah kemahiran, menimba pengalaman atau menjadi langkah permulaan pada cita-cita yang belum tercapai,” katanya pada majlis yang diadakan di KKBSe, Bagan Serai, Perak baru-baru ini.



Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif UMP Advanced Education Sdn Bhd, Prof Madya Dr. Hamzah Ahmad; Pegawai Penerangan Daerah Kerian, Khairul Ferdaus Mat Jilid; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pengurusan Sekolah, Mohamad Adhar Zakaria; Pengarah-Pengarah Kolej Komuniti Negeri Perak serta Pengetua-Pengetua sekolah terpilih Daerah Kerian.

Sementara itu, Facebook rasmi KKBSe melaporkan terdapat empat kumpulan yang terlibat dalam kolaborasi tersebut.

Mengulas lanjut, kerjasama itu melibatkan 13 buah kolej komuniti yang terdapat di seluruh negeri Perak bersama UMP Advanced Education Sdn Bhd.

“Kerjasama lain adalah KKBSe bersama Jabatan Penerangan Daerah Kerian; KKBSe bersama Pejabat Pendidikan Daerah Kerian; dan KKBSe bersama empat buah sekolah angkat,”kata kenyataan tersebut.



Empat buah sekolah angkat yang terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Serai, SMK Abu Bakar Al-Baqir, SMK Alang Iskandar dan SMK Sri Kurau.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button