Skuad hoki negara sudah sedia hadapi final Piala FIH

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki kebangsaan sudah bersedia menghadapi final Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) di Potchefstroom, Afrika Selatan dari 28 November hingga 4 Disember ini.

Ketua jurulatih, A Arul Selvaraj berkata walaupun masih ada dua bulan sebelum pertandingan itu bermula, persediaan khusus untuk kejohanan itu telah pun dimulakan.

“Kami sudah melakukan banyak perancangan dan persediaan sejak berbulan lalu. Kami berlatih dalam keadaan cuaca yang ekstrem dari 10 pagi dan hingga 4.30 petang.

“Sebagai tambahan, kami akan lalui enam perlawanan persahabatan pada jelajah di Sepanyol dan Belgium bermula minggu hadapan, yang juga sebahagian daripada rancangan persediaan kami,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

FIH melalui satu kenyataan hari ini, mengumumkan jadual perlawanan dan kumpulan pertandingan (dua kumpulan dengan empat negara setiap satu) untuk Kejohanan Hoki Negara-Negara FIH, lelaki dan wanita.

Cabaran Malaysia pada kejohanan itu akan dibawa skuad lelaki negara yang diundi dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, Jepun dan Kanada.

Afrika Selatan selaku tuan rumah akan bermain dalam Kumpulan A bersama Perancis, Ireland dan Pakistan.

Perlawanan pembukaan akan menyaksikan pertemuan dua negara Asia iaitu pasukan negara akan berhadapan Korea Selatan di Stadium Universiti North-West Potchefstroom pada 28 November manakala final pada 4 Disember.

Piala Hoki Negara-Negara FIH menyaksikan permulaan kepada promosi dan peningkatan Liga Pro Hoki FIH dengan pasukan yang memenangi Piala Hoki Negara-Negara FIH ini akan berpeluang untuk dinaikkan ke Liga Pro Hoki FIH 2023-2024.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker