56 bas penyokong JDT serbu Bukit Jalil

JOHOR BAHRU: Bahang aksi final Piala FA membabitkan pertembungan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini tampak semakin terasa apabila kedua-kedua penyokong semakin ghairah membuat persiapan.

Tidak terkecuali pastinya Kelab Penyokong Bolasepak Johor Darul Ta’zim (KPBJDT) yang sudah bersedia untuk `menyerbu’ Stadium Nasional, Bukit Jalil bagi memberi semangat buat barisan pemain skuad kendalian Hector Bidoglio untuk membawa pulang Piala FA selepas kali terakhir memenangi piala berkenaan pada musim 2016.

Timbalan Presiden KPBJDT, Mohd Fadzli Sapiee berkata, sebanyak 56 bas akan bergerak ke Bukit Jalil dari Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin yang membabitkan 12 bas rombongan dari KPBJDT, sembilan dari Penyokong `Gate C’ manakala penyokong Boys of Straits (BOS) akan hadir dengan kekuatan 35 bas.

“Pergerakkan penyokong BOS membabitkan beberapa daerah sebab itu jumlah bas yang akan hadir ke Bukit Jalil banyak manakala bagi penyokong KPBJDT dan penyokong `Gate C’ akan bergerak pada pukul 7.30 pagi.

“Semua penyokong dapat berkumpul di perkarangan Stadium Larkin seawal 6.30 pagi. Ini tidak termasuk yang pergi menggunakan kenderaan sendiri.

“Kami membuat keputusan untuk bergerak lebih awal bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan yang dijangka berlaku di persekitaran Bukit Jalli kerana saya difahamkan di stadium tertutup bersebelahan Stadium Nasional ada konsert diadakan.

“Kami turun dengan semangat `Kita Bersaudara’ jadi antara penyokong JDT dan TFC sememangnya semangat itu sudah lama dipupuk malah ketika kami bertandang ke Stadium Sultan Mizan, Gong Badak menyaksikan JDT menentang TFC, mereka menyambut baik kedatangan kami,” katanya.

Ditanya mengenai harapan pada aksi final yang bakal menyajikan aksi penuh debaran, Mohd Fadzli berharap barisan pemain JDT memberi persembahan terbaik pada perlawanan itu nanti dan tidak hilang fokus selain memperagakan corak permainan mantap.

Katanya, pada musim lalu, penyokong hadir untuk final Piala Malaysia tapi dengan kapasiti terhad akibat penularan COVID-19 dan agak kecewa selepas JDT tewas 0-2 kepada Kuala Lumpur City FC yang muncul juara piala edisi ke-100 itu. Namun itu aksi final Piala FA pasti meriah dengan kehadiran penyokong yang ramai.

“Saya berharap semua penyokong sama ada penyokong JDT dan Terengganu dapat menjaga semangat kesukanan dan mengelak daripada tercemar dengan sikap tidak senonoh malah perlu elak melakukan sebarang provokosi kerana semua peminat cintakan keindahan bola sepak dan saling menghormati antara satu sama lain,” kata Mohd Fadzli.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker