Ringgit cecah paras terendah sejak krisis kewangan Asia 1998

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kepada paras terendah yang pernah dicatatkan semasa krisis kewangan Asia 1998 pada Rabu, apabila lebih ramai pelabur beralih kepada mata wang selamat itu ekoran prospek ekonomi global yang tidak menentu.

Pada 9.01 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 4.5010/5035 berbanding dolar AS daripada 4.4970/4500 ketika ditutup pada Selasa.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata pasaran mengalami turun naik yang lebih ketara berbanding biasa baru-baru ini disebabkan ketegangan yang semakin memuncak antara Russia dan Barat, dengan keputusan Russia untuk memotong bekalan gas ke Eropah bagi tempoh yang tidak pasti.

“Sementara itu, data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Bukan Pembuatan ISM AS bagi Ogos mencatatkan bacaan yang jauh lebih tinggi daripada jangkaan, dan in meningkatkan tekanan belian terhadap dolar AS yang telah sedia berada dalam aliran menaik sejak beberapa bulan lalu.



“Berlandaskan data yang menunjukkan inflasi tinggi dan pengangguran rendah di AS, ramai yang menjangkakan Rizab Persekutuan AS mengekalkan trajektori meningkat semasa apabila membabitkan kadar faedah, dengan kenaikan seterusnya dijangka diputuskan pada mesyuarat akan datang,” katanya dalam nota penyelidikan pada Rabu.

Sementara itu, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1965/1987 daripada 3.2021/2044 ketika ditutup pada Selasa dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1451/1473 daripada 3.1741/1762.

Ringgit juga kukuh berbanding pound British kepada 5.1671/1700 daripada 5.2156/2191 semalam dan stabil berbanding euro kepada 4.4515/4540 daripada 4.4759/4788.



BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker