Sedia 1,100 aset jentera hadapi banjir

Sabak Bernam: KDEB Waste Management (KDEBWM) akan menggerakkan sebanyak 1,100 aset jentera termasuk lori kompaktor bagi berdepan banjir besar yang dijangka berlaku di Selangor pada November depan.

Ia termasuk kerja kutipan sampah dan pembersihan awam terutama longkang di lokasi terjejas kelak.

Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat KDEBWM, Ahmad Rizal Mohd Daud berkata, jentera berkenaan akan digunakan secara menyeluruh di setiap kawasan banjir khususnya di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam.

“Persediaan ini penting sekiranya banjir berkenaan bakal mengakibatkan jumlah sampah lebih tinggi berbanding tahun lalu.



“Semua lori KDEBWM akan terus digerakkan ke lokasi banjir yang bukan saja melaksanakan kerja kutipan malah membantu memeriksa saliran longkang tersumbat.

“Ia tidak termasuk jengkaut yang turut akan digunakan menerusi kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya pada sidang media selepas program penanaman 500 bakau bersama KDEBWM, Lembaga Hasil (LHDN) dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) di Hutan Simpan Kuala Bernam, Teluk Rhu, Sungai Apong di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Mohd Nizom Sairi dan Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Azman Dahlan.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan bermula pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar.



Pada masa sama katanya, KDEBWM juga akan bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menyelaraskan pusat pengumpulan sampah banjir di seluruh negeri ini.

“Kita mahu pusat pengumpulan ketika banjir tahun lalu dikekalkan di lokasi sama susulan faktor jarak kawasan yang lebih dekat sekali gus memudahkan pelaksanaan operasi kutipan sampah,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Rizal berkata, setakat ini KDEBWM memeriksa semua saliran longkang dan parit yang tersumbat akibat sampah.

Menurutnya, KDEBWM turut bekerjasama dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai situasi banjir di Selangor.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker