Banjir Iboi: 128 mangsa banjir masih berada di dua PPS

BALING: Seramai 128 mangsa banjir membabitkan 36 keluarga masih berada di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sehingga jam 7 pagi ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz, berkata kesemua mangsa berada di dua PPS iaitu 94 mangsa daripada 30 keluarga berada di PPS Dewan Terbuka Kampung Padang Empang manakala 34 mangsa daripada enam keluarga berada di PPS Dewan Masjid Al-Huda, Kampung Hangus, Kupang.

Beliau berkata, semua mangsa tidak dibenarkan pulang kerana hujan masih turun waktu petang dan keadaan tidak selamat.

“Keadaan cuaca yang tidak menentu dan rumah mereka masih tidak selamat jadi semua mangsa tidak dibenarkan pulang.

“Mereka dinasihatkan tinggal di PPS sehingga keadaan pulih bagaimanapun, ada di antara mangsa pulang waktu siang untuk membersih rumah dan datang ke PPS semula untuk menginap,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Faizol berkata, data masuk dan keluar PPS akan direkodkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala pemeriksaan kesihatan akan dilakukan oleh pembantu perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Mangsa banjir di PPS sentiasa dipantau KKM supaya terhindar daripada penyakit berjangkit dan JKM akan merekodkan mangsa yang berpindah ke PPS supaya mereka berada dalam keadaan selesa, terutama warga emas yang uzur,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, Jambatan Bailey masih ditutup kepada lalu lintas dan kerja pembaikan sedang dilakukan oleh jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker