Chelsea mahu Potter ganti Tuchel

LONDON: Chelsea mahukan Graham Potter berada di kerusi pengurus bagi aksi menentang tetangga London, Fulham Sabtu ini.

Bos Brighton itu sudah mengadakan perbincangan positif dengan ketua Blues dan dijangka akan mengadakan perbincangan lanjut hari ini sebelum bersetuju dengan sebarang perjanjian.

Bos Blues segera memecat Thomas Tuchel, 49, semalam selepas musim panas yang sukar apabila mereka mengambil alih kuasa di Stamford Bridge yang diakhiri dengan kekalahan dalam Liga Juara-Juara di tangan Dinamo Zagreb.



Mereka terus menghubungi Brighton, yang memberikan kelulusan untuk berbincang dengan Chelsea yang dikatakan bersedia membayar minimum £20 juta (RM103.58 juta) sebagai pampasan buat buat Potter.

Tugas utama di Stamford Bridge adalah sesuatu yang dimahukan Potter dan sekiranya perjanjian dapat dicapai dengan segera, dia akan mengetuai pasukan di Craven Cottage minggu ini.

Jika perbincangan tidak mencapai kata putus, Chelsea boleh berusaha mendapatkan bekas bos Spurs dan PSG, Mauricio Pochettino.

Bos Seagulls itu berada di kelabnya pagi semalam untuk sesi fotografi dan latihan menjelang pertemuan di Bournemouth minggu ini.



Potter diberitahu mengenai minat ditunjukkan Chelsea semalam dan selepas latihan, bekas bos Ostersunds dan Swansea City itu ke London untuk bertemu pengurusan Blues dan membincangkan projek jangka panjang di bawah pimpinannya.

Potter diberitahu Todd Boehly mahu mengelak pendekatan ‘ambil dan pecat’ yang sangat biasa di bawah Roman Abramovich, walaupun mereka sendiri memecat Tuchel hanya 100 hari selepas menjadi pemilik kelab.

AGENSI



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button