Napoli belasah Liverpool 4-1

NAPLES, Itali: Napoli kembali ke Liga Juara-Juara dengan penuh gaya apabila menang 4-1 mengatasi Liverpool seterusnya menambah masalah Reds pada permulaan musim ini.

Liverpool menerima padah pada babak pertama di Stadio Maradona apabila Napoli sememangnya berhak mendapat tiga gol sebelum rehat.

Piotr Zielinski meledak daripada sepakan penalti dan dua lagi gol terhasil menerusi gerakan baik Andre-Frank Zambo Anguissa dan Giovanni Simeone pada penampilan pertama mereka dalam Liga Juara-Juara yang menyebabkan skuad Jurgen Klopp diambang kekalahan memalukan.



Pemain tengah Poland, Zielinski kemudian menambah jaringan keempat tidak lama selepas bersambung babak kedua bagi memastikan Napoli bermula dengan baik dalam Kumpulan A.

Luis Diaz kembali merapatkan jaringan dua minit kemudian tetapi hanya itu dapat dilakukan Reds ketika Napoli mencatat keputusan yang pastinya akan diingati mereka.

Skuad kendalian Luciano Spalletti yang kembali ke pentas tertinggi Eropah selepas tidak beraksi selama dua musim, kini kedua kumpulan namun sama mata dengan Ajax yang turut membelasah Rangers.



Jurulatih berkenaan bagaimanapun tidak mahu terlalu terbawa-bawa mengenai persembahan menakjubkan pasukannya sambil menegaskan mereka tidak memberi pengajaran kepada sesiapa dan ia hanyalah satu “persembahan bagus.”

“Apabila anda bermain menentang pasukan seperti ini, ia hanya memerlukan satu perkara kecil yang perlu diperhalusi dan keseluruhan perlawanan boleh berubah secara tiba-tiba,” katanya kepada Amazon Prime.

Napoli meneruskan permulaan baik dalam liga domestik yang menyaksikan mereka berkedudukan kedua selepas lima perlawanan dalam Serie A dan dibantu persembahan baik daripada pemain yang baharu dibeli terutama pemain sayap Khvicha Kvaratskhelia.

Sementara itu Liverpool kini berkedudukan terbawah dan mahu menukar perhatian mereka bagi meningkatkan kedudukan dari tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris.



AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button