Perak, Pahang juara hoki MSSM 2022

KUANTAN: Pasukan Perak muncul juara Kejohanan Hoki Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2022 kategori lelaki bawah 18 tahun selepas menewaskan Johor menerusi penentuan shoot out 4-3 selepas terikat 1-1 dalam masa sebenar di Stadium Hoki Kuantan, di sini hari ini.

Turun dengan misi kemenangan, anak buah jurulatih Mohd Nizam Mohd Hashim memulakan permainan dengan penuh semangat mengatur serangan bertali arus.

Pada minit kesembilan, Muhammad Faiz Afzan Mohd Faizal memastikan Perak berada di depan apabila mudah menolak bola muntah pukulan sudut penalti dengan menewaskan penjaga gol Ahmad Syafuddin Rozi.

Johor bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti oleh Azimuddin Syakir Kamaruddin pada minit ke-29.

Bagi Mohd Nizam, dia berpuas hati dengan persembahan pemainnya yang dapat mengawal permainan walaupun diasak lawan.

“Pencapaian kali ini kejayaan kedua berturut-turut, pada MSSM 2019 di Melaka kita turut muncul juara. Ternyata usaha pemain musim ini berhasil,” katanya.

Tempat ketiga pasukan Terengganu dan keempat Pulau Pinang.

Dalam kategori perempuan, tuan rumah Pahang muncul juara selepas menewaskan Johor menerusi penentuan shoot out 3-1 selepas terikat tanpa jaringan pada masa sebenar.

Jurulatihnya, Mohamad Sabri Mohamad berkata, pemain Pahang lebih berhati-hati sepanjang perlawanan hingga gagal menyudahkan beberapa peluang yang terhidang.

“Bagaimanapun saya bersyukur dengan kejayaan hari ini hasil kesungguhan semua pemain yang tampil dengan misi menjulang kejayaan,” katanya.

Tempat ketiga menjadi pasukan Perak dan keempat Kedah.

Dalam kategori lelaki bawah 12 tahun, johan menjadi milik Johor, naib johan Kuala Lumpur dan ketiga Pahang.

Bagi kategori perempuan pula, Negeri Sembilan muncul juara selepas menewaskan Pahang dan Selangor menduduki tempat ketiga.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker