Polis tahan bapa pelakon remaja

KUALA LUMPUR: Bapa seorang pelakon remaja yang didakwa melakukan serangan seksual ke atas anak kandungnya itu ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, ketika mengesahkan perkara itu, berkata tangkapan ke atas suspek dilakukan pada jam 2.25 petang.

Menurut Wan Azlan, suspek yang berusia 43 tahun ditahan di kediamannya di Kedah sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya

“Pihak polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek dan akan dihantar ke Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dianalisa.

“Ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati negatif dan semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Azlan berkata suspek dibawa ke Mahkamah Shah Alam untuk permohonan reman dan majistret membenarkan lelaki itu direman tujuh hari sehingga 12 September ini untuk siasatan.

Semalam, Wan Azlan dalam kenyataan, memaklumkan pihaknya menerima satu laporan polis daripada pelakon remaja berusia 15 tahun itu pada jam 10.55 malam, kelmarin.

Katanya, pelakon remaja itu dalam laporan polisnya menyatakan dia diganggu secara seksual oleh bapa kandungnya serta tidak menjaga kebajikannya.

Selain itu, mangsa juga sering dipertontonkan dengan video lucah dalam telefon bimbit bapa kandungnya. Kejadian itu berlaku sejak 2013 sehingga 2017.

Menurut Wan Azlan mangsa turut menyatakan kejadian itu berlaku ketika mangsa berusia enam tahun, ketika itu mereka tinggal di kawasan Subang Jaya dan kejadian berlaku semasa ibunya tiada di rumah.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencabul, Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001 atas kesalahan mengabaikan seorang kanak-kanak dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan atas kesalahan memiliki bahan lucah.

Baru-baru ini, pelakon remaja itu mendedahkan sikap buruk bapanya ketika ditemubual dalam satu program di YouTube.

Pelakon remaja itu mendakwa bapanya melakukan gangguan seksual terhadapnya, selain turut memperlakukan ibunya dengan teruk.

Selepas kisah itu tular, suspek yang menetap di Kedah ada membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Bandar Baharu pada Ahad lalu untuk menafikan dakwaan anaknya itu.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker