65,898 permohonan fasa kedua PerantiSiswa diterima

Oleh Rohana Man

KUALA BESUT – Kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerima 65,898 permohonan tablet fasa kedua di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia sejak mula dibuka pada 1 Ogos lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 45,341 permohonan layak menerima tablet, manakala 20,557 permohonan sedang diproses.

Daripada keseluruhan jumlah itu juga, sebanyak 3,156 permohonan PerantiSiswa yang diterima dari pelajar seluruh Terengganu turut diluluskan.

“Seramai 150 pemohon adalah pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), sekali gus mereka menjadi kumpulan pertama menerima tablet ini di Terengganu,” katanya pada majlis Perasmian Kompleks Akademik dan Pentadbiran Perpustakaan Al-Wathiqu Billah, Taman Rimba Ilmu Tanah Bris (TRIBE) dan Agropreneur Incubator Park (AIP), UniSZA Kampus Besut, di sini semalam.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar; Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr. Fadzli Adam dan Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar.

Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menyerahkan tablet Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia kepada pelajar yang layak di Kuala Besut, Terengganu semalam.

 

Kompleks Akademik dan Pentadbiran UniSZA dilengkapi dengan kemudahan dua buah dewan auditorium, sebuah bilik mesyuarat Senat, sebuah bilik seminar dan 12 buah bilik kuliah bagi kemudahan warga kampus.

Kompleks tersebut turut menempatkan Perpustakaan Al-Wathiqu Billah yang boleh memuatkan 500 pengguna dan mempunyai kemudahan lengkap termasuk ruang belajar, bilik perbincangan, bilik mesyuarat, bilik tesis serta bilik siswazah.

Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia itu merupakan inisiatif kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi terpilih untuk membekalkan peranti tablet kepada pelajar B40 di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.

Permohonan fasa pertama dibuka secara dalam talian pada 15 April sehingga 15 Mei lalu menerima kira-kira 100,000 permohonan.

Sempena lawatan Noraini ke UniSZA Kampus Besut, beliau turut menyempurnakan pengagihan PerantiSiswa kepada pelajar IPT dari seluruh Terengganu.

Mengulas lanjut, beliau menyeru semua pelajar IPT dari keluarga B40 yang masih belum memohon segera membuat permohonan.

“Permohonan fasa kedua dibuka sehingga 30 September ini. Masih ada masa untuk pelajar membuat permohonan,” ujarnya.

Dalam satu perkembangan lain, Noraini turut memantau kafe dan kantin di kampus UniSZA bagi memastikan hidangan Menu Keluarga Malaysia bernilai RM3.50, diberikan dalam kuantiti munasabah dan tidak mengabaikan aspek kualiti makanan.

“Kerajaan telah memberikan moratorium bayaran sewa selama enam bulan kepada pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan di dalam kampus IPT awam mulai Julai lalu.

“Jadi, mereka (pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan) sepatutnya boleh menawarkan menu RM3.50 pada kuantiti yang munasabah kepada pelajar,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker