Ekonomi teruk, rakyat ‘mental’

(Tiga anggota bomba berjaya memujuk seorang wanita daripada terjun di sebuah bangunan flat di Kuala Lumpur. Gambar Hiasan)

Oleh Lily Jasmine

DESAKAN hidup akibat kehilangan pekerjaan dan kenaikan harga barang keperluan rumah menjadi salah satu faktor peningkatan kes penyakit mental dalam kalangan rakyat negara ini.



Keadaan itu bertambah runcing sepanjang musim pandemik Covid-19 melanda negara selama dua tahun.

Ramai yang kehilangan pekerjaan apabila syarikat tempat mereka bekerja menamatkan operasi ekoran kemerosotan pendapatan sepanjang musim pandemik.

Kesan daripada itu, ada ibu bapa terpaksa memberi anak air teh kosong atau sirap menggantikan susu bayi yang sudah tidak mampu lagi dibeli.

Malah ada ibu bapa yang ‘pejam mata’ melihat najis anak berciciran di lantai kerana tidak mampu lagi membeli lampin pakai buang bayi.



Ibu bapa mana yang tidak keruan apabila satu demi satu musibah menimpa akibat kemerosotan ekonomi sehinggakan untuk membeli minyak masak paket berharga RM2.50 pun terpaksa berkejar dari satu kedai ke satu kedai lain, bertanyakan keberadaan minyak paket tersebut.

Ketika musim ‘berebut’ minyak masak paket berlaku, penulis tidak terkecuali menerima tempiasnya apabila kunjungan ke kedai dan pasar raya berakhir dengan kegagalan.

Jawapan yang biasa penulis terima daripada pekerja kedai adalah “Dah habis kak… (kadang-kadang makcik), pagi-pagi lagi orang dah serbu kedai ni…cari minyak masak paket.”

Sampai ke tahap itu sekali keadaan ekonomi dan kenaikan harga barang di negara ini.



Laporan Astro Awani hari ini menyebut Kadar Dasar Semalaman (OPR) naik kali ketiga pada tahun ini dan terbaharu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan OPR dinaikkan 25 mata asas menjadikan kadarnya ketika ini adalah 2.50 peratus.

Apa yang rakyat biasa faham adalah jika OPR naik maka segala bentuk pinjaman bank akan turut meningkat.

Justeru lebih banyak wang diperlukan untuk membayar hutang bank seperti hutang rumah, kereta, pinjaman peribadi, kad kredit dan lain-lain.

Sedangkan ada dalam kalangan kita bukan sahaja gaji bulanan dipotong, malah semakin banyak pekerja tidak lagi menikmati bayaran kerja lebih masa, bayaran perubatan dan lain-lain faedah perkhidmatan.



Laporan media juga menyebut penduduk miskin bandar semakin terhimpit sehinggakan untuk membeli lauk dan sayur pun sudah tidak mampu.

Ketika pemimpin negara masih berpeluang menikmati hidangan enak di atas meja makan, semakin ramai keluarga B40 dan M40 yang terpaksa ikat perut.

Golongan mahasiswa tidak terkecuali apabila hanya mampu menikmati satu hidangan sahaja sehari, sama ada makan tengah hari atau makan malam.

Bagaimana mampu mereka belajar dalam keadaan perut mendendangkan lagu keroncong?



Walaupun kerajaan menetapkan harga siling satu hidangan RM3.50, namun itu hanya penyelesaian sementara kerana moratorium yang diberi kepada pengusaha kantin/kafe di institusi pengajian tinggi (IPT) hanya untuk tempoh enam bulan sahaja.

Kehidupan yang semakin terhimpit dek kerana faktor ekonomi semakin dibebankan lagi dengan kemelut politik tanah air yang tiada kesudahannya.

Lebih teruk apabila dalam satu kapal yang sama tetapi mempunyai pandangan berbeza akibat pentingkan diri sendiri sehingga muncul golongan pengkhianat.

Kamu barisan pemimpin yang bergaduh, kami rakyat biasa yang terpaksa menanggung akibat!.



Ada pihak berkata, segerakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana pentadbiran yang lemah hasil kerajaan campuran hari ini menakutkan pelabur untuk masuk ke Malaysia.

Malah lebih teruk, ramai juga pelabur yang telah lari meninggalkan negara, menyebabkan pucuk pimpinan terkapai-kapai mencari dana baharu untuk memastikan rakyat tidak kebuluran.

Pelabur tidak masuk atau lari mencetuskan pula masalah pengangguran yang maha hebat apabila peluang pekerjaan tidak lagi dapat diwujudkan.

Soalnya, sampai bila keadaan ini akan berlaku?

Jangan sampai semakin ramai rakyat diserang kemurungan, sakit mental sehingga mengambil nyawa sendiri kerana tidak mampu berdepan masalah hidup yang getir.

Kata-kata itu bukan auta apabila ia diakui sendiri pihak yang pakar dalam bidang penyakit mental.

Seorang ahli psikologi klinikal dari Hospital KPJ Sentosa, Kuala Lumpur, Loheswary Arumugam, dalam satu laporan akhbar pada Julai lalu berkata, apabila ekonomi merosot, tekanan perasaan semakin membelenggu hidup seseorang sehingga mendorong tindakan yang boleh membahayakan nyawa.

“Semasa pandemik, keadaan ekonomi negara merosot sehingga mencetuskan kebimbangan dan takut menghadapi beban kewangan dan pekerjaan,”katanya.

Sementara itu, laporan media turut memaparkan data yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Data itu menunjukkan kes bunuh diri dalam tempoh tiga tahun lalu semakin meningkat.

Jumlah kes bunuh diri pada tahun 2019 adalah sebanyak 609 kes dan meningkat kepada 631 kes pada 2020.

Statistik yang diterima untuk tahun berikutnya menunjukkan sebanyak 468 kes bunuh diri direkodkan sepanjang tempoh Januari hingga Mei 2021.

Apa agaknya yang mendorong seseorang termasuk yang beragama Islam mengambil keputusan menamatkan riwayat hidup dengan cara membunuh diri?

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye dalam satu laporan akhbar berkata, rakyat amat terkesan dengan isu kenaikan harga barangan terutama bagi mereka yang mengalami kesempitan hidup.

Katanya, keadaan itu membawa kepada pelbagai kesan terhadap kesihatan mental.

“Kesan ini secara tidak langsung membawa kepada isu, sejauh mana kepentingan tahap kesihatan mental perlu dibincangkan,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, kerajaan perlu memandang serius isu kesihatan mental dan tekanan emosi rakyat kerana ia memberi pelbagai kesan buruk kepada negara.

Beliau juga menegaskan, Kementerian Kesihatan (KKM) perlu menitikberatkan soal tersebut termasuk mengadakan sesi kaunseling dan mewujudkan pelbagai inisiatif program yang menggunakan komunikasi dua hala.

“Langkah ini membolehkan individu yang berdepan masalah mampu meluahkan perasaan atau tekanan yang dialaminya,” katanya.

Lam Thye mengakui isu kesihatan mental kurang dibincangkan dalam kalangan rakyat Malaysia dan kerana itu, ia tidak begitu dipedulikan.

Situasi itu katanya, membimbangkan masa depan negara apabila masalah mental bukan sahaja terjadi dalam kalangan penduduk dewasa tetapi turut berlaku kepada remaja.

“Ia perlu diselesaikan agar tidak memberi masalah kepada masa depan negara,” tambahnya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button