Empat mahasiswa UTHM sertai Misi Sukarelawan YSS



(Kerja-kerja membina longkang dijalankan sukarelawan siswa dengan kerjasama penduduk di Kampung Indarason Laut (Matunggong), Kudat,Sabah)

Oleh Rohana Man

BATU PAHAT – Empat mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyertai Misi Sukarelawan Siswa anjuran Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) ke Sabah bermula 29 Ogos sehingga 13 September ini.

Empat mahasiswa tersebut ialah Nurul Azreen Izzatie Roslan, Mohamad Amirul Hakim Hairizan dan Muhammad Zikry Irfan Ruzaidi dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) serta Nur Ain Abu Bakar dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB).

Kesemua mereka adalah sebahagian daripada 100 mahasiswa dari institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara yang kini sedang menjalankan kerja-kerja kesukarelawan di Tuaran, Kudat dan Beluran, Sabah.



Ketua Jabatan Nilai dan Kesukarelawanan Pelajar, Pusat Pembangunan Pelajar (PBP), Dr. Khalid Isa berkata, pemilihan mahasiswa itu dibuat oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan YSS melalui proses temuduga yang dikendalikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah/Pengarah YSS di Putrajaya.

“Mahasiswa yang dipilih mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan semangat kesukarelawan yang tinggi serta aktif dalam aktiviti kemasyarakatan,” katanya dalam kenyataan media baru-baru ini.

Misi Sukarelawan Siswa berkenaan melibatkan enam buah kampung di Sabah iaitu Kampung Perpaduan (Pulau Banggi) Kudat, Kampung Indarason Laut (Matunggong) Kudat, Kampung Penimbawan Tuaran, Kampung Berungis Tuaran, Kampung Kabuluh (Paitan) Beluran, dan Kampung Tanjung Nipis (Paitan) Beluran.

“Misi ini bermatlamat untuk melahirkan pemimpin sukarelawan siswa di pentas global.



“Ia dilaksanakan menerusi konsep ‘immersion’ yang mana sukarelawan siswa akan tinggal bersama komuniti tempatan dan melaksanakan kerja sukarelawan mengikut bidang pengajian masing-masing berteraskan right volunteers for the right job,” jelas Dr. Khalid.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, Facebook YSS melaporkan Muhammad Zikry Irfan Ruzaidi dari UTHM bersama sukarelawan siswa lain berada di Kampung Indarason Laut (Matunggong), Kudat untuk membantu penduduk kampung membuat longkang.

Menurutnya, kerja-kerja itu selesai dilakukan pada 7 September lalu yang mana longkang tersebut dibuat bagi memastikan air di kawasan blok hadapan sekolah tidak bertakung.

“Setiap kali hujan, kawasan terbabit akan dipenuhi air. Dengan adanya longkang ini, diharap air tidak lagi bertakung di hadapan blok sekolah,” katanya.



Muhammad Zikry bersama Firdaus (Universiti Malaysia Terengganu), Iqmal (Universiti Teknologi Petronas), dan Firdaus (Universiti Pertahanan Nasional Malaysia) berganding bahu bersama penduduk kampung mengambil inisiatif untuk membuat lubang di parit utama dan meletakkan paip bagi memastikan air dari longkang yang telah dibuat mengalir terus ke dalam parit utama.

Sementara itu, perkongsian maklumat di Facebook YSS juga mendapati setiap hari, mahasiswa sibuk menjalankan tugas masing-masing dengan kerjasama penduduk kampung.

Sekumpulan sukarelawan siswa yang lain berusaha menyiapkan projek pejalan kaki di Sekolah Kebangsaan (SK) Penimbawan, Tuaran.

Laluan pejalan kaki sejauh kira-kira 80 meter yang dibina itu terletak di kawasan sekolah dan berdekatan dengan jeti.



Pada masa ini, jarak kira-kira 50 meter telah digunakan untuk menghubungkan pondok sekolah berhampiran jeti ke dewan sekolah.

“Baki 30 meter masih belum dikenal pasti lokasinya, tetapi
kerja-kerja penandaan jalan sudah dimulakan sebaik sahaja bahan-bahan projek seperti simen tiba,”kata seorang sukarelawan.

Penduduk kampung turut serta membantu menjayakan projek pejalan kaki berkenaan yang mana ia sekali gus mengeratkan silaturahim golongan mahasiswa dengan penduduk.

Dalam pada itu, sesi Fire Drill selesai dilakukan di SK Karakit dengan kerjasama tiga pegawai bomba dari Kudat dan enam sukarelawan bomba.

Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Muhammad Fathullah Mohd Shupian berkata, peserta yang hadir pada hari itu diberi peluang untuk mencuba memadamkan api menggunakan alat pemadam api jenis ABC.

“Sukarelawan juga dapat bersama-sama membuat demonstrasi memadamkan api.

“Nampaknya bukan peserta sahaja yang bersemangat ketika sesi ini, malah sukarelawan juga bersemangat mencuba peralatan tersebut,” katanya.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker