IPT perlu pupuk elemen kenegaraan – KPT

Datuk Seri Abdul Razak Jaafar ketika berucap menegaskan institut pengajian tinggi (IPT) awam mahupun swasta perlu memainkan peranan mencorakkan pembangunan negara melalui pemerkasaan pendidikan tinggi dengan asas kenegaraan.

 

Oleh Azrin Muhammad



PUTRAJAYA – Kementerian Pengajian Tinggi menggesa kesemua institut pengajian tinggi (IPT) awam mahupun swasta memainkan peranan mencorakkan pembangunan negara melalui pemerkasaan pendidikan tinggi dengan asas kenegaraan yang jitu.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar berkata, kementerian tidak ketinggalan berperanan dalam usaha membangunkan negara secara komited untuk melahirkan warganegara yang berpengetahuan serta berkemahiran tinggi.

“Kementerian telah melaksanakan Pelan Kesejahteraan Pendidikan Tinggi atau SEJAHTERA IPT iaitu sebuah rangka tindakan untuk meningkatkan lagi tahap kesejahteraan warga IPT secara holistik dan lestari bagi merealisasikan misi tersebut.

“Selain itu, KPT juga berpandangan hasrat berkenaan bukan sahaja memberi kesan positif terhadap kementerian, malah ia dapat menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.



Terdahulu, Abdul Razak melancarkan majlis Bicara Kenegaraan 2022 anjuran Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang telah diadakan di Dewan Za’aba, Bangunan KPT, pagi tadi.

Penganjuran buat kali ketiga tersebut membariskan panelis yang berkaliber bagi mengupas topik Malaysia Teguh Bersama: Di Manakah Sumbangan Pendidikan Tinggi? dengan harapan mengingatkan para pemimpin IPT agar terus meningkatkan komitmen mengisi nikmat kemerdekaan dengan sumbangan yang lebih bermakna.

Turut hadir, Pengarah AKEPT, Datuk Prof. Dr. Nasrudin Mohammed dan Ketua Program dan Timbalan Pengarah, Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (UPM), Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain.

Dalam masa sama, Abdul Razak juga melancarkan buku Suara Intelek Awam Pembina Negara Malaysia dan prapelancaran buku Naratif Baharu dan Jati Diri dalam Kepemimpinan Pendidikan Tinggi Negara terbitan UPM.



Kata Abdul Razak, kedua-dua buah buku berkenaan merupakan garapan daripada pemikiran ahli panel dalam Bicara Kenegaraan edisi terdahulu, selain percambahan idea daripada penulis jemputan.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button