Kapal ala “James Bond” yang bernama 007 karam di Greece



ATHENS, Greece – Sebuah kapal layar mewah yang dinamakan 007 karam selepas terkandas di sebuah pulau di Greece dalam kemalangan yang berlaku pada malam Jumaat lepas, lapor akhbar The Sun kelmarin.

Kapal mewah sepanjang 48.7 meter (m) itu melanggar batu di Pulau Kythnos, menyebabkan badannya senget. Kesemua lima penumpang 007 dilaporkan berjaya diselamatkan.

Kapal layar mewah bertemakan James Bond dan mempunyai pad helikopter itu dirakam berada dalam keadaan separa tenggelam kira-kira 15 meter dari Pantai Kolona.

Menurut laporan, 007 terlanggar batu sekitar pukul 11 malam (waktu tempatan) yang menyebabkan air laut melimpah masuk ke bahagian dalam kapal ketika anggota-anggota penyelamat bertungkus-lumus menyelamatkan penumpang.



Sistem pengesanan global (GPS) pada kapal 007 itu dikatakan gagal berfungsi dan menurut seorang pemilik bot tempatan, kaptennya mengemudi kapal layar tersebut mendekati pantai.

“Ketika berusaha untuk memastikan kapal tidak tenggelam, kaptennya mengemudi kapal menuju kawasan pantai pada kedalaman kurang 10 meter. Begitulah bagaimana kapal layar itu boleh berada pada kedudukan tersebut (terkandas).

“Tiada penumpang cedera. Pasukan pengawal pantai segera menyedari kemalangan itu dan terus menghantar bantuan pada hari kejadian,” kata individu berkenaan.

Keesokan harinya, mereka memasang perimeter antipencemaran di sekeliling kapal layar berkenaan.



“Nampaknya tiada sebarang tumpahan minyak atau kerosakan pada lokasi tersebut,” ujarnya.

Pihak berkuasa tempatan sedang menjalankan siasatan bagi menentukan punca kejadian.

Kapal 007 itu belayar dengan mengibarkan bendera Britain, namun pemiliknya adalah seorang ahli perniagaan dari Switzerland yang identitinya kekal misteri.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker