KPT bantu pelajar B40 ikuti kursus TVET

(PERMINTAAN terhadap pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mempunyai latar belakang program pengajian TVET mempunyai kelebihan di pasaran kerjaya masa kini. – GAMBAR HIASAN)

Oleh Rohana Man

 

KUALA LUMPUR – Usaha kerajaan memperkenalkan Program Dermasiswa B40 Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) baru-baru ini wajar diberikan pujian.

Melalui pelaksanaan program tersebut, lebih banyak peluang dibuka kepada anak muda terutama daripada kumpulan B40 mendapat akses pendidikan di peringkat lebih tinggi, seterusnya membina kerjaya dalam bidang TVET.

Sebagai permulaan, seramai 1,000 pelajar seluruh negara terbabit dalam pengambilan siri pertama program berkenaan melibatkan perbelanjaan RM36.41 juta.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam ucapannya ketika hadir pada Minggu TVET Negara (MTN) di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, baru-baru ini berkata, agenda utama pemerkasaan TVET adalah membangunkan Pelan Penjenamaan TVET Negara.

Menurutnya, antara pembangunan itu adalah memperkenalkan logo TVET Malaysia.

“Logo ini akan menjadi simbol kebersamaan semua kementerian penyedia TVET,” katanya.

TVET adalah singkatan daripada perkataan Technical and Vocational Education Training atau Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional.

Ia merupakan proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama diberikan terhadap amalan industri.

Di Malaysia, TVET telah diberi nafas baharu pada 27 September 2017 dengan majlis pelancaran dan penjenamaan TVET Malaysia disempurnakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Penjenamaan semula itu dibuat bagi mengubah tanggapan dan persepsi negatif ibu bapa mengenai kemahiran TVET yang mana kebiasaannya ibu bapa lebih menekankan akademik berbanding amalan industri.

Carian maklumat di internet menyatakan terdapat dua aliran TVET yang menawarkan program sijil dan diploma berstatus Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Institusi yang menawarkan kursus aliran TVET adalah politeknik, kolej komuniti dan kolej vokasional.

Program ini terbuka kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kurang kecenderungan terhadap akademik tetapi lebih suka hands-on.

Menariknya, program TVET juga dibuka kepada pelajar yang tidak mempunyai sijil SPM bagi mengikuti kursus kemahiran yang ditawarkan di pusat latihan kemahiran (PLK) awam atau swasta yang menawarkan program Sijil Kemahiran Malaysia.

Dalam pada itu, Noraini berkata, kementeriannya turut memilih slogan ‘TVET Pilihan Utama Kerjaya’ dalam memposisikan TVET di laluan pendidikan utama, sekali gus menjadikannya sebagai antara pilihan kerjaya yang direbut.

Di Malaysia, katanya, terdapat sejumlah 1,295 buah institusi dan penyedia TVET yang merangkumi 640 institusi TVET awam di bawah seliaan 11 kementerian, 22 institusi TVET kerajaan negeri dan 633 penyedia TVET swasta.

Apa yang pasti adalah langkah kerajaan memperkenalkan Program Dermasiswa B40 TVET tepat pada masanya, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi yang tidak menentu sehingga melahirkan lebih banyak golongan keluarga B40 terutama selepas pandemik Covid-19 yang menjejaskan golongan berpendapatan rendah.

Secara tidak langsung, Program Dermasiswa TVET itu dapat mewujudkan masyarakat yang lebih saksama dan berdaya saing, sekali gus melahirkan golongan muda berkemahiran dalam pelbagai bidang industri.

Dengan segala penambahbaikan, TVET kini tidak lagi dianggap sebagai laluan pendidikan kelas kedua terutama tatkala banyak negara maju seperti Jepun dan Jerman menyaksikan TVET sebagai pilihan utama pelajar.

Berikutan perkembangan teknologi yang pesat di negara ini, sudah tentu permintaan terhadap pelajar yang mempunyai latar belakang TVET mempunyai kelebihan.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker