KPT lancar bengkel penyediaan pelan pengurusan risiko

(Datuk Seri Abdul Razak Jaafar melancarkan Bengkel Penyediaan Pelan Pengurusan Risiko KPT di Hotel IBIS Melaka, semalam)

Oleh Azrin Muhammad

AYER KEROH – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melancarkan Bengkel Penyediaan Pelan Pengurusan Risiko KPT untuk memberi panduan proaktif serta mengambil kira risiko-risiko utama semasa merancang sesebuah dasar atau program.

Menurut Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar, penganjuran bengkel berkenaan dapat menghasilkan satu dokumen rujukan ulung yang berupaya memupuk kesedaran dalam kalangan pemegang taruh dan warga kerja KPT pada masa akan datang.

“Sesebuah organisasi kerajaan sentiasa terdedah kepada pelbagai bentuk risiko seperti kecederaan, bencana, projek-projek sakit, kebocoran maklumat, berita palsu, penyelewengan dana, ketirisan wang awam dan situasi kritikal seperti COVID-19.

“Bagi menangani situasi krisis tersebut, warga KPT digalak memiliki ilmu dan kemahiran untuk mengurus cabaran serta isu yang disifatkan semakin volatile, uncertain, complex and ambiguous (VUCA),” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Abdul Razak merasmikan Bengkel Penyediaan Pelan Pengurusan Risiko KPT anjuran Bahagian Khidmat Pengurusan KPT di Hotel IBIS Melaka, semalam.

Bengkel yang berlangsung selama tiga hari itu turut mendapat kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan akan menyediakan panduan kepada peserta untuk mengenal pasti langkah pencegahan bagi memastikan keberhasilan serta keberkesanan sesuatu program atau projek.

Tambah Abdul Razak, pelan itu juga merupakan risiko strategik yang akan dijajarkan dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 – Pendidikan Tinggi (PPPM-PT) dan telah diangkat sebagai salah satu Projek Bitara KPT bagi tahun 2022.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker