Pemilik premis boleh tentukan pemakaian pelitup muka



Johor Bahru: Pemilik premis dalam bangunan di negeri ini dibenarkan untuk menentukan protokol pemakaian pelitup muka di premis mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon bagaimanapun berkata kerajaan negeri amat menggalakkan pemakaian pelitup muka terus diamalkan terutama apabila berada di lokasi tumpuan ramai termasuk pasar malam, stadium, gedung beli-belah dan rumah ibadah.

Beliau juga berkata, individu yang bergejala, berisiko tinggi dan imuniti rendah serta ibu mengandung turut digalakkan untuk terus memakai pelitup muka bagi mengelakkan penularan jangkitan itu.

“Kerajaan negeri akan terus membantu Kementerian Kesihatan dalam memantau situasi Covid-19 di dalam dan luar negara selain memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan berada dalam keadaan yang optimum bagi memastikan kesejahteraan rakyat.



“Bagaimanapun, pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka ataupun boleh memilih untuk memakai pelitup muka, namun orang ramai amat digalakkan memakai kerana ia terbukti mampu mengurangkan penularan jangkitan, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ling berkata, kesedaran orang ramai mengenai kepentingan mengamalkan langkah pencegahan telah membantu menyumbang kepada penurunan kes Covid-19 serta menstabilkan sistem perkhidmatan kesihatan dengan kadar kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU) yang rendah.

Beliau berkata kadar penggunaan Katil Bukan Kritikal Covid-19 di negeri ini adalah sebanyak 21.6 peratus dengan 117 pesakit, manakala hanya tiga peratus dengan enam pesakit yang menggunakan alat bantuan pernafasan (ventilator), setakat Rabu lepas.

“Selain itu, sebanyak 32 peratus bagi kadar penggunaan katil ICU dengan tujuh pesakit,” tambahnya yang turut memaklumkan kerajaan negeri menyambut baik keputusan Kementerian Kesihatan berkenaan penetapan pemakaian pelitup muka itu.



METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker