Dijel empat tahun nodai anak saudara

Oleh – Syeikh Baran


Dijel empat tahun nodai anak saudara
TERTUDUH berusia 27 tahun dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini.

Perbuatan jelik seorang pemuda melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya berusia empat tahun berbalas apabila dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Azaraorni Abd. Rahman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh yang berusia 27 tahun membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, yang juga anak saudaranya antara pukul 8 pagi sehingga 9.30 pagi di sebuah rumah di Bukit Rambai pada 31 Januari lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 26 dan 27 akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum selama 20 tahun dan sebat.

Mengikut fakta kes, perbuatan tidak senonoh tertuduh itu terbongkar selepas mangsa mengadu kepada ibunya mengenai rasa sakit di bahagian alat sulit dan sukar untuk membuang air kecil.

Kanak-kanak itu kemudian memberitahu tertuduh ada menyentuh bahagian berkenaan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rashidah Baharom memohon agar tertuduh dikenakan hukuman penjara dan sebatan yang setimpal atas kesalahan dilakukannya terhadap kanak-kanak tersebut.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun hanya merayu hukumannya diringankan dengan alasan dia telah insaf dan menyesal atas perbuatannya.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama empat tahun bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 2 Februari lalu dan dikenakan satu sebatan.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker