Ratu Elizabeth 11 mangkat, Putera Charles naik takhta

Putera Charles dinobatkan sebagai Raja Charles 111 selepas ibundanya, Ratu Elizabeth 11 mangkat semalam.

 

Susunan Rohana Man

LONDON – Putera Charles dinobatkan sebagai Raja Charles 111 susulan kemangkatan ibundanya, Ratu Elizabeth 11 pada pukul 6.30 petang (1750 GMT) di Istana Balmoral, Scotland, semalam.

Ia sejajar dengan pelaksanaan Operasi London Bridge iaitu kod atau kata laluan untuk upacara pengebumian yang akan dilakukan dalam tempoh beberapa minggu atau bulan selepas kemangkatan Ratu Elizabeth II.



Salah satu daripada protokol operasi itu adalah pada hari kemangkatan, putera sulung ratu, Putera Charles akan segera diangkat sebagai Raja Charles III.

Putera paling tua dalam kalangan empat anak Ratu Elizabeth 11 itu dilantik sebagai raja bagi menggantikan ibundanya yang mangkat pada usia 96 tahun.

Ratu Elizabeth 11, tokoh paling lama memerintah Britain dan pemerintah tertua di dunia dilaporkan menghidap ‘episodic mobility problems’ sejak hujung tahun lalu.

Pegawai Istana Buckingham di London mengesahkan Putera Charles, 73, dinobatkan sebagai raja berkuatkuasa serta-merta, sekali gus menyandang gelaran raja yang pertama sejak keluarganya menduduki takhta pada 1685.



Pengesahan itu dibuat susulan kemangkatan Ratu Elizabeth II, iaitu monarki Britain paling lama bertakhta dalam sejarah negara tersebut.

Raja Charles, dalam ucapan pertamanya, menyifatkan kemangkatan ibundanya sebagai saat paling sedih dalam hidup baginda dan seluruh ahli keluarganya.

“Kami berkabung atas pemergian seorang ratu yang dihormati dan ibu yang amat disayangi.

“Saya pasti pemergian baginda amat dirasai di seluruh negara, dunia, negara-negara Komanwel dan semua individu,” titahnya melalui kenyataan yang ditandatangani ‘Yang Mulia Raja’ di kota London.

Sementara itu, Istana Buckingham, dalam satu kenyataan ringkas memaklumkan bermulanya tempoh berkabung selama 10 hari.

“Raja (Charles) dan Permaisuri (Camilla) akan berada di Istana Balmoral dan pulang ke London esok,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, pemimpin di seluruh dunia memberi penghormatan dengan menzahirkan ucapan takziah terhadap pemergian baginda yang memerintah selama 70 tahun.

Perdana Menteri Britain, Liz Truss yang baru dua hari mengangkat sumpah jawatan turut meratapi pemergian baginda.

“Tuhan selamatkan Ratu,” katanya dalam ucapan yang tidak pernah diungkapkan di Britain sejak tahun 1952.

Ratu Elizabeth 11 menduduki takhta diraja United Kingdom (UK) sejak tahun 1952, tempoh paling lama pernah direkodkan dalam mana-mana sistem monarki di dunia.

Sepanjang tempoh itu, baginda menyaksikan 15 Perdana Menteri Britain mengangkat sumpah jawatan termasuk yang terbaharu, Liz Truss, selain menaungi hampir 20 acara Sukan Olimpik.

Meratapi pemergian Ratu Elizabeth 11, rakyat jelata mula meletakkan ribuan jambangan bunga dan lilin yang dinyalakan di luar pintu pagar Istana Buckingham di tengah kota London, sebagai tanda penghormatan terhadap pemergian baginda.

Laporan media antarabangsa menyebut pemergian Ratu Elizabeth 11 akan membawa banyak perubahan, bukan sahaja kepada UK, malah dunia. – AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker