Spesis Baung ekor merah ancam ikan di tiga sungai di Ulu Pahang

JERANTUT – Dianggarkan lebih 100,000 ekor ikan baung ekor merah membiak sejak lima tahun lalu dan menjadi ‘ikan pemusnah’ di tiga sungai utama di Ulu Pahang iaitu Sungai Tembeling, Sungai Pahang di Jerantut dan Sungai Jelai di Lipis.

Kehadiran spesies berasal dari Sungai Mekong di Vietnam itu mendominasi habitat di sungai tersebut yang menjadi pemusnah terhadap ikan liar tempatan seperti patin, kelah, kenerak, jelawat, temoleh dan kerai.

Situasi itu mengundang kebimbangan nelayan sungai kehadiran ikan baung ekor merah yang lama-kelamaan menjejaskan pendapatan mereka berikutan ikan liar tempatan pupus menjadi mangsanya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, spesies ikan pemangsa itu berkemungkinan dibawa masuk secara haram tanpa kebenaran pihak berkuasa untuk ternakan secara kecil-kecilan.



Bagaimanapun, ketika mencapai saiz besar baung ekor merah terlepas ke perairan sungai utama berikutan kejadian banjir yang menenggelami kolam ternakan yang terletak di pesisir sungai.

Katanya, menerusi laporan Jabatan Perikanan, baung ekor merah dalam kumpulan keluarga ikan keli yang terbesar di Asia mampu membesar sehingga 130 sentimeter dengan berat maksimum 80 kilogram.

“Bagi mengelakkan spesies ini mengancam kan liar tempatan bermutu tinggi di pasaran tempatan, kerajaan menerusi Jabatan Perikanan sewajarnya menghapuskan baung ekor merah yang dianggarkan membiak lebih 100,000 ekor sejak lima tahun lalu khususnya kawasan Sungai Tembeling dan Sungai Pahang serta anak sungai di daerah ini.

“Kita menganjurkan program Moh Buru Baung Ekor Merah dengan kerjasama Jabatan Perikanan untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang ancaman ikan ganas itu di samping menjaga kepentingan hidupan air, iaitu ikan liar tempatan yang bermutu tinggi menjadi sumber pendapatan nelayan sungai,” katanya di sini semalam.



Ahmad Nazlan berkata, sehingga kini, seramai 1,106 orang nelayan darat yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan Pahang, manakala seramai 610 orang dari jumlah tersebut aktif menangkap ikan sungai di Jerantut.

Sementara itu, nelayan sungai Kampung Pedah, Mohd. Aizuddin Rahimi, 35, berkata, sudah banyak ikan baung ekor merah di habitat Sungai Pahang berdekatan kampung itu dan menjadi pemangsa kepada ikan liar tempatan.

“Saya pertama kali menangkap ikan ganas ini lima tahun lalu ketika menjaring di sungai ini. Selepas itu, saya kerap kali menemukan ikan ini tersangkut di umpan tajur malah lebih banyak spesies ini membesar pelbagai saiz tersangkut di jaring setiap kali saya menangkap ikan,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker