Tom Enggan Kembali Menyanyi Di Kelab Malam

Juara My Starz LG, Tom, merupakan salah seorang peserta yang bakal berentap dalam Gegar Vaganza (GV) musim kesembilan.

Ketika ditemui OhBulan!, Tom menzahirkan rasa syukur apabila terpilih dalam kalangan 15 penyanyi selepas sekian lama menyepi daripada industri seni.

Kata Tom, 35, sebelum ini dia bekerja di sebuah kelab malam namun sejak pandemik Covid-19 dia mula berubah ke arah lebih baik.

Ya Allah macam tak percaya, saya dapat (sertai) GV. Bila dapat tahu, saya menangis sebab rasa tak cukup layak lagi. Tapi Allah berikan saya peluang kedua ini. Saya bukanlah orang yang baik. Cuma sejak pandemik, saya cuba berubah dan insafi diri.



Macam yang semua tahu saya sebelum ini aktif menyanyi di kelab malam namun apabila premis itu sudah dapat kembali beroperasi saya sebolehnya tidak mahu menyanyi di situ lagi, melainkan ada jemputan.

Kalau diberi peluang, saya mahukan sesuatu yang lebih baik untuk anak-anak. Nak ubah hidup. Hanya saya yang boleh ubah. Kalau saya jatuh, sama juga dengan mereka.

Anak-anak β€˜berdiri’ atas kaki saya, mereka tiada siapa-siapa. Anak-anak kekuatan saya.

Tom berkata demikian ketika sidang media Gegar Vaganza 9 yang diadakan di Menara KL, pada Selasa.



Cari sumber pendapatan lain

Dalam pada itu, pemilik nama Raja Farah Afzal Raja Ikram, nekad melakukan persembahan jalanan (busking) di Pulau Langkawi, Kedah, sejak kelab malam ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan.

Dedah Tom, dia pernah menerima pendapatan hanya sebanyak RM3 pada satu malam.

Jujurnya ketika saya mula nak masuk dalam dunia busking saya agak malu. Tapi lama-kelamaan saya seronok dengan kerjaya ini. Mahu atau tidak saya perlu kerja untuk menyara anak-anak. Perasaan malu itu hilang.

Pada awal belajar busking memang pendapatan yang diterima sangat berbeza dengan menyanyi di kelab malam. Pernah satu malam saya hanya terima RM6 dan dibahagikan kepada dua orang.

Tapi saya bertuah kerana ada kenalan yang menawarkan kami untuk menghiburkan tetamu di restoran berdekatan hotel. Bolehlah jana pendapatan juga.

Selain Tom, peserta handal lain yang turut bakal berentap merebut gelaran juara ialah Shila Amzah, Haida, Pat Candy, Jaclyn Victor, Dina Nadzir, Tomok, Bob Yusof, Asheed Def Gab C, Roy Kapilla, Hazrul Nizam, Fuad Rahman dan VE yang dianggotai empat ahli.

Konsert GV9 akan mula bersiaran secara langsung bermula 18 September ini selama 10 minggu dari MBSA dan juara akan pulang trofi beserta wang tunai bernilai RM100,000.

OhBulan!

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker