TRIBE galak flora dan fauna guna tanah BRIS

(Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (kanan) menyiram pokok yang ditanamnya sebagai simbolik sokongan kementerian terhadap inisiatif Taman Rimba Ilmu Tanah BRIS (TRIBE) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), di sini, hari ini)

 

 

Oleh Azrin Muhammad

KUALA TERENGGANU – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyambut baik inisiatif Taman Rimba Ilmu Tanah BRIS (TRIBE) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) bagi menggalakkan perkembangan flora dan fauna.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, TRIBE dilihat mampu menjadi stesen penyelidikan, khususnya dalam usaha untuk meningkatkan potensi kegunaan tanah Beach Ridges Interspersed with Swales (BRIS).

“Menerusi usaha ini juga diharap UNISZA dapat mengenal pasti potensi flora dan fauna yang terdapat di taman rimba ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Noraini kini sedang mengadakan lawatan kerja ke Terengganu dan telah singgah ke UNISZA (Kampus Besut) bagi melihat sendiri penemuan universiti itu untuk meningkatkan daya tahan iklim menerusi pemeliharaan dan pemuliharaan pokok hutan.

TRIBE merupakan salah satu inisiatif pihak UNISZA untuk mewujudkan kampus hijau dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu.

Tambah Noraini, usaha berkenaan wajar mendapat pujian dan sokongan daripada kementerian khususnya dunia kini sedang berhadapan dengan isu perubahan iklim yang boleh mengakibatkan pelbagai bencana.

“Malaysia perlu segera me­ningkatkan daya tahan iklim supaya dapat meminimumkan impak perubahan iklim terutamanya kesan cuaca ekstrem.

“Usaha pemeliharaan dan pemuliharaan pokok-pokok hutan dan pokok-pokok lain yang bersesuaian seperti ini diharap dapat menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar,”katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker