Abdul Rahman Dahlan tawar diri bertanding pada PRU15

KOTA KINABALU – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan menawarkan diri untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Abdul Rahman bagaimanapun berkata, perkara itu bergantung kepada keputusan parti dan beliau akan patuh dengan sebarang keputusan mengenainya.

“Sama ada saya bertanding atau tidak, bergantung kepada keputusan parti tetapi saya juga telah diberikan beberapa gambaran aspirasi kepimpinan parti untuk saya tawarkan diri menjadi calon Parlimen.

“Saya tidak keberatan untuk tawarkan diri, tetapi yang penting nama saya dalam senarai bersama-sama rakan-rakan lain untuk pastikan Barisan Nasional (BN) mendapat kedudukan yang terbaik dalam PRU nanti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Klinik Bergerak Hospital Universiti Malaysia (HUMS) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, semalam.



Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya sama ada akan membuat kemunculan semula pada PRU15.

Kenyataan Abdul Rahman itu sekali gus menggambarkan bahawa beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Belud akan bertanding dan menawan semula kerusi yang terpaksa ditinggalkannya pada PRU lalu.

“Saya tidak pernah tinggalkan Kota Belud, saya diarahkan oleh parti untuk bertanding di tempat lain walaupun keputusan itu saya bantah tetapi akhirnya keputusan itu tidak membuahkan hasil.

“Strategi tidak mengena, dipindahkan ke Parlimen Sepanggar tiga bulan sebelum PRU tidak begitu mengena,” katanya.



“Saya ada banyak idea yang masih tergendala di Parlimen Kota Belud walaupun tidak menjadi ahli Parlimen di kawasan itu. Salah satu perkara saya janjikan dulu adalah penubuhan Politeknik Kota Belud.

“Selama lima tahun ini usaha itu terus berjalan dan akhirnya kerajaan telah meluluskan penubuhan politeknik itu,” katanya.

Bagaimanapun, Ketua UMNO Bahagian Tuaran itu juga tidak menolak jika dicalonkan di Parlimen Tuaran berikutan jawatannya dalam parti bagi kawasan berkenaan.

“Tuaran kawasan saya sebagai ketua bahagian dan sudah tentu Tuaran satu kawasan dalam kepimpinan UMNO jadi keutamaan.

“Tetapi ini bukan keputusan saya, saya akan patuh dengan keputusan parti di mana sahaja saya dicalonkan,” katanya.

Untuk rekod, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bertanding pada PRU14 di Parlimen Sepanggar, namun tewas apabila Ketua Wira Parti Warisan (Warisan) ketika itu, Datuk Mohd Azis Jamman berjaya memenangi kerusi dengan majoriti 12,984 undi.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, usaha untuk menaikkan kouta satu pertiga kerusi parlimen di Sabah dan Sarawak akan mengembalikan proses semak dan imbang politik serta pentadbiran negara.

Beliau berkata, keputusan kerajaan Pusat yang bersetuju meningkatkan lagi representasi wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak itu adalah bagi menghormati semangat pembentukan Malaysia.

“Seperti mana kita tahu dulu Sabah, Sarawak dan Singapura bersetuju untuk membentuk Malaysia bersama dengan Tanah Melayu dengan satu syarat bahawa ahli-ahli parlimen dari Sabah, Sarawak dan Singapura mesti lebih kurang satu pertiga supaya Tanah Melayu tidak boleh mengubah perlembagaan Malaysia itu tanpa perlu konsultasi daripada Sabah, Sarawak dan Singapura.

“Apabila Singapura telah keluar dari Malaysia, jumlah ahli parlimen Sabah dan Sarawak itu tidak lagi sampai satu pertiga dan semalam keputusan yang telah dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah satu berita yang cukup baik untuk rakyat Sabah untuk kita kembalikan proses semak dan imbang, kesimbangan politik dan pentadbiran dalam negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai respons berhubung usaha untuk mengembalikan semula 35 peratus kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak yang dibincangkan dalam Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63). – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker