JDT juara di atas ‘KERTAS’



KUALA LUMPUR: Saingan Piala FA kian menghampiri kemuncaknya selepas dua pasukan Liga Super, Terengganu FC (TFC) akan berentap dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Kedua-dua pasukan tampak memiliki kelebihan masing-masing namun di atas kertas, reputasi skuad Harimau Selatan ‘mengangkat’ mereka sebagai pasukan pilihan pada aksi final ini.

BH Sukan mendapatkan komen jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah untuk mengupas mengenai kemampuan kedua-dua finalis itu.

“Secara keseluruhan, ini adalah peluang keemasan untuk JDT merancang bagi mendapatkan kejuaraan ‘treble’. Liga Super hampir berada dalam tangan, kali ini peluang mendapatkan Piala FA pula dan selepas itu, Piala Malaysia.



“Cuma segalanya bergantung kepada kebijaksanaan dan percaturan jurulatihnya (Hector Bidoglio) untuk mengadun ramuan yang terbaik sekali gus membuktikan kewibawaan serta kemampuannya.

“Bagi TFC pula, tiada yang mustahil dalam bola sepak dan pasukan itu menunjukkan peningkatan di bawah bimbingan Nafuzi Zain. Saya rasa Nafuzi sudah dapat menghidu apa yang boleh dilakukan untuk mengeksploitasi kesempatan yang ada,” kata bekas jurulatih Kedah itu.

Berikut adalah rumusan dan rating yang diberikan Azraaai untuk setiap ‘jabatan’ bagi skuad Penyu dan juga JDT.

TERENGGANU FC



Penjaga gol (7/10)

Saya lihat kecederaan penjaga gol utama, Rahadiazli Rahalim tidak begitu serius, lagipun tiada pemain yang mahu terlepas peluang untuk beraksi di final.

Perlawanan akhir akan menjadi motivasi terbaik tetapi sekiranya Rahadiazli tidak dapat diturunkan, penggantinya iaitu Suhaimi Husin mampu mengalas tanggungjawab dengan baik.

Cuma situasi ini mungkin memberikan kelebihan kepada JDT memandangkan penjaga gol ganti TFC kurang pengalaman daripada segi minit permainan dan mungkin gemuruh pada final nanti.



Pertahanan (7/10)

Berdasarkan apa yang ada dengan jentera serangan JDT, aksi final ini akan menjadi satu ujian besar buat benteng pertahanan TFC.

Melihat kepada senarai pemain tempatan yang kurang berpengalaman bermain di pentas tertinggi dan hanya beraksi dalam saingan tempatan, mereka perlu cepat ‘settle down’ pada aksi final ini.

Ini kerana kadang-kala pemain mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dan ini kesempatan terbaik untuk lawan mendapatkan gol awal.



Tengah (7/10)

Tumpuan terarah pada Habib Haroon dan Manuel Ott kerana TFC banyak mengharapkan Habib sebagai jeneral tengah selain dia juga akan kelebihan untuk melakukan percubaan jauh.

JDT harus memberi lebih perhatian kepada Ott dan perlu menutup ruang daripada pemain ini ‘bermaharajalela selain mereka juga ada pemain seperti Faiz Nasir dan beberapa pemain lain.

Jentera tengah TFC perlu ‘overtime’ daripada segi menyerang dan bertahan kerana di bahagian ini akan menjadi ‘kunci’ buat mereka pada aksi final nanti.

Serangan (7/10)

Gandingan Kpah Sherman dan Tchetche Kipre bukan satu masalah dengan panjang mereka beraksi dalam kancah bola sepak tempatan namun persembahan mereka perlu konsisten.

Barisan pertahanan JDT perlu berhati hati kerana dua pemain ini sudah matang dengan Liga M dan mereka akan dibantu dengan kelincahan Faisal Halim.

Walaupun bertubuh kecil tetapi Faisal wajar dikunci kerana dengan kelincahan dan kelicikannya, dia adalah antara jentera serangan tempatan terbaik ketika ini.

JOHOR DARUL TA’ZIM (JDT(

Penjaga gol (8/10)

Jika diukur berdasarkan prestasi dalam liga tempatan, kelebihan sudah pasti berpihak kepada JDT.

Mereka ada penjaga gol berpengalaman, Farizal Marlias walaupun kerap dikritik tetapi saya percaya dia masih lagi mampu beraksi dengan baik.

Apapun, Bidoglio masih ada pilihan untuk menurunkan penjaga gol yang lain kerana mereka memiliki pengganti yang baik juga.

Pertahanan (8/10)

JDT memiliki kombinasi pertahanan yang baik dan ketiadaan Mauricio pada musim ini tidak menjadi masalah di mana mereka menjadi bertambah mantap.

Buktinya menerusi jumlah bolos yang dicatat mereka dan ini membuktikan mereka sukar untuk dibolosi.

Bek kanan dan kiri dan menjadi nadi dengan larian dan ‘overlapping’ daripada bahagian bawah untuk menajamkan lagi serangan mereka.

Tengah (8/10)

Mereka ada tenaga tempatan dan tenaga import yang sangat baik, jadi terpulang kepada pendekatan yang akan digunakan oleh Bidoglio untuk berdepan TFC.

Apa saja taktikal yang ingin diterapkan, mereka memiliki set pemain untuk melaksanakan apa yang diinginkan.

Kombinasi antara jentera tengah dengan bahagian serangan juga memang baik untuk memberi ‘bekalan’ kepada jentera serangan di atas.

TFC perlu berwaspada dengan kelicikan Leandro Velazquez kerana pemain ini bijak bermain ‘permainan minda’ dan memanfaatkan situasi yang ada.

Serangan (9/10)

Biarlah rekod jaringan Bergson da Silva dan Fernando Forestieri berbicara mengenai kemampuan dua penyerang itu.

Secara keseluruhan, saya nampak ini adalah barisan terbaik yang pernah dimiliki JDT khususnya di bahagian serangan.

Tidak tertumpu pada Bergson dan Forestieri semata-mata kerana mereka ada Arif Aiman Hanapi di bahagian sayap yang mampu bertindak untuk merencana gerakan ataupun mendapatkan gol secara sendirian.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker