PATI merusuh di Depot Imigresen Sementara Bidor dan larikan diri

 

Oleh Pena Merah

PATI merusuh di Depot Imigresen Sementara Bidor dan larikan diri
Suasana di hadapan Depot Imigresen sementara Bidor.hari ini

Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di Depot Imigresen Sementara Bidor di sini, melarikan diri selepas merusuh dan merobohkan pagar serta kawad duri.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kejadian rusuhan itu bagaimanapun tidak melibatkan kecederaan kepada anggota pasukan keselamatan.

Katanya, kumpulan tersebut dipercayai melarikan diri dengan menuju kawasan hutan berhampiran termasuk ladang kelapa sawit, hutan kecil dan Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini.

“Usaha pencarian kesemua tahanan itu sedang giat dijalankan. Kesemua mereka melarikan diri dalam keadaan sehelai sepinggang tanpa membawa apa-apa barang, makanan mahupun wang.

“Kita percaya dalam keadaan seperti itu dan penglibatan pelbagai agensi penguat kuasa, kesemua tahanan terbabit akan dapat dijumpai semula,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas meninjau Depot Imigresen Sementara Bidor, di sini hari ini.

Menurut beliau, operasi pencarian yang turut disertai Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) itu kini memberi tumpuan di kawasan Bidor.

Katanya, pemantauan dari udara turut dilakukan oleh Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman.

“Buat masa ini, kita akan cari di sekitar radius depot tahanan ini dahulu. Setakat ini, belum ada lagi tangkapan semula membabitkan tahanan yang lolos,” katanya.

Tambah beliau, sebanyak tujuh sekatan jalan raya didirikan sejak semalam di daerah Tapah, Muallim, Kampar dan Hilir Perak.

-Kosmo Online-

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker