Pelakon lelaki yang juga pendakwah bebas ditahan untuk siasatan kes amang seksual

KUALA LUMPUR – Seorang pelakon lelaki yang juga pendakwah bebas yang ditahan polis selepas didakwa melakukan amang seksual secara fizikal membabitkan empat remaja lelaki bawah umur kini direman.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya telah menerima empat laporan polis daripada mangsa-mangsa berkenaan pada 30 Ogos lalu.

Dua aduan diterima di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dan masing-masing satu laporan dibuat di IPD Shah Alam dan IPD Kajang.

Kesemua laporan polis tersebut dibuat oleh empat orang individu berumur lingkungan 17 hingga 18 tahun yang mendakwa telah menjadi mangsa amang seksual fizikal oleh suspek.

“Siasatan awal mendapati, suspek merupakan seorang lelaki warganegara tempatan berusia lingkungan 40-an telah berkenalan dengan kesemua pengadu dalam program motivasi yang diadakan di sekolah sekitar Selangor.

“Hasil dari perkenalan tersebut, suspek didakwa telah bertindak melakukan jenayah amang seksual fizikal kepada semua pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas maklumat berikut, tambah Arjunaidi, polis telah berjaya membuat tangkapan ke atas suspek terbabit pada 8 September lalu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Suspek kemudian dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang pada Jumaat lalu sebelum berjaya memperoleh kebenaran tahanan reman selama enam hari sehingga 14 September di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut ke atas suspek.

“Kes sedang disiasat secara mendalam di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tidak melebihi 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan.

“Pada masa yang sama, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu kerana ia akan menjejaskan siasatan serta boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

“Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan secara tegas mengikut peruntukkan undang-undang kepada mana-mana pihak yang didapati cuba mengelirukan masyarakat dengan menyebarkan sesuatu berita atau isu yang tidak tepat,” tegasnya. – Malaysia Gazette 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker