PH akan pertimbang permohonan MUDA
PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) memberi komitmen untuk segera mempertimbangkan permohonan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyertai gabungan itu bagi mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui media selepas menghadiri Program Pentas Angkatan Muda di Taman Medan di sini, malam ini.
Sehingga kini, katanya, pemimpin utama PH belum mengadakan pertemuan termasuk bagi membincangkan mengenai permohonan MUDA itu.
“Belum (bincang). Secepat mungkin,” katanya ringkas ketika ditanya sama ada PH sudah memutuskan mengenai permohonan MUDA.
Hadir sama Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amiruddin Shaari dan Nik Nazmi Nik Ahmad; Ketua Wanita PKR, Senator Fadhlina Sidek; serta Ketua Angkatan Muda (AMK) PKR, Adam Adli Abdul Halim.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut memaklumkan agihan kerusi bagi komponen PH akan ditetapkan pada kadar segera.
“Kita akan tetapkan segera. Everything is a bit too fast (Semuanya kelihatan terlalu pantas),” katanya.
Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada sidang media sebelum ini memaklumkan parti itu bersetuju menyertai PH sebagai antara parti komponen dalam gabungan itu bagi menghadapi PRU ke-15.
BHOnline