‘Kenapa buat saya macam ini, apa salah saya?’

Kuala Lumpur: “Mesej untuk penyamun jika dia lihat berita ini, saya nak tanya apa salah saya? Kenapa buat saya macam ini? Tolong serah diri, munculkan diri,” kata Siti Nur Azizah Syafriadi, 18, ketika ditemui di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat Beringin, Jinjang di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.10 malam 26 Ogos tahun lalu, tangan kanan Siti Nur Azizah dipotong hingga paras bahu susulan kecederaan selepas motosikal Yamaha Y15ZR dinaiki bersama teman lelaki ditendang penyamun di Jalan Kuching di sini.

Selepas mereka terjatuh di jalan raya, penyamun terbabit melarikan motosikal berkenaan.



Siti Nur Azizah berkata, akibat kejadian itu, sehingga kini dia masih terasa seperti penjahat mengekorinya jika membonceng motosikal ibunya untuk ke mana-mana seperti ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.

“Saya maafkan (penyamun), tetapi berat juga. Reda, tak pernah menangis tentang kejadian itu. Kadangkala menangis kerana tangan terasa sakit,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan terkini kesnya, Siti Nur Azizah berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul (IPD) masih membuka kertas siasatan namun belum ada petunjuk baru berkaitan penyamun terbabit.

Katanya, sebagai anak sulung daripada lima beradik, dia perlu meneruskan hidup dengan fokus membantu ibu, Roslinawati Ya, 39.



Bapanya, Syafriadi Sudirman meninggal dunia dalam usia 38 pada 2018 akibat tekanan darah tinggi dan Siti Nur Azizah perlu membantu ibunya menanggung empat adik yang masih menuntut di sekolah menengah dan rendah.

“Saya menjual jersi secara dalam talian. Kadangkala saya ada buat live di media sosial. Bolehlah untuk meraih pendapatan.

“Sebenarnya saya teringin membuka kedai peralatan solek kerana itu minat saya.

“Dalam waktu terdekat, saya hendak ambil lesen memandu kereta,” katanya.



Mengenai rawatan susulan, Siti Nur Azizah berkata, dia bersyukur ada beberapa pihak menaja tangan palsu untuknya walaupun buat masa ini ia kosmetik dan bukan berfungsi seperti memegang sebarang objek.

Menurutnya, selepas kejadian itu, dia tidak lagi mempunyai ramai rakan termasuk sudah berpisah dengan teman lelakinya.

“Selepas apa yang terjadi tahun lalu, kawan mula berkurang. Banyak juga perkara yang saya lupa. Keluarga yang benar-benar ada di sisi menyokong saya.



“Aidilfitri ini saya ada beraya di rumah kawan rapat. Perasaan sedih saya hilang apabila bergembira bersama kawan-kawan,” katanya.

Sementara itu, Roslinawati tidak dapat menahan air mata ketika mengimbas perasaan menunggu anaknya yang koma sejurus tragedi itu.

“Saya hanya doakan Siti Nur Azizah hidup. Saya rasa tidak dapat menanggung beban kehilangan lagi.

“Suami saya meninggal dunia selepas koma tiga hari, masa saya menunggu dia koma di Hospital Kuala Lumpur, saya jadi sangat takut sebab situasinya sama.



“Saya minta kepada Allah SWT supaya izinkan dia hidup walau apa pun keadaannya.

“Doktor pada ketika itu beritahu keadaan Siti Nur Azizah kritikal dan tangan kanan perlu dipotong untuk mengelak kuman merebak yang mengancam nyawa,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button