Tengku Mahkota Pahang sempurnakan Pentauliahan Diraja PALAPES

BANGI: Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyempurnakan Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam (UA) ke-40 di Dewan Gemilang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Ketibaan Tengku Hassanal disambut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Panglima Angkatan Tentera (ATM), Tan Sri Affendi Buang dan Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Istiadat perbarisan membabitkan 1,625 pegawai kadet PALAPES daripada 16 detasmen dari 19 UA seluruh Malaysia diketuai Pegawai Rendah Kanan, Muhammad Badrul Amin Amanti dari PALAPES UKM.

Daripada jumlah itu, seramai 34 orang menerima penyampaian Anugerah Pedang Kehormat sebagai kadet terbaik keseluruhan.



Selesai istiadat perbarisan, Tengku Hassanal turut mengurniakan watikah tauliah kepada 1,024 pegawai kadet Tentera Darat Malaysia, 277 pegawai kadet Tentera Laut Diraja Malaysia dan 324 pegawai kadet Tentera Udara Diraja Malaysia di Dewan Canselor Tun Abdul Razak disusuli bacaan ikrar Taat Setia Perwira serta penyerahan skrol ikrar oleh pegawai muda yang baru ditauliahkan.

“Kita tanamkan semangat patriotik dan kesukarelawanan selama tiga tahun. Diharapkan dengan elemen penting ini, anak muda warisan negara ini menjadi teras pimpinan masa depan,” katanya.

Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam ke- 40 adalah istiadat tahunan dan dianjurkan UA mengikut penggiliran.

Bagaimanapun, istiadat itu tidak dapat dilaksanakan pada 2020 dan 2021 akibat pandemik COVID-19.



BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker