Paras air laut cecah 5.4m di perairan Klang
KLANG: Paras air laut mencecah 5.4 meter (m) di beberapa lokasi perairan daerah ini, susulan fenomena air pasang besar yang bermula hari ini.
Bacaan itu direkodkan di lokasi pemantauan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, membabitkan Jalan Kunci Air, Pangkalan Nelayan, Jalan Genting, Jeti Sayang di Sayang dan Pangkalan Sungai Keramat.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Hafisham Mohd Noor, setakat ini, keadaan cuaca adalah baik dan tiada risiko banjir.
“Air pasang besar pada jam 6.42 pagi setinggi 5.4m, namun keadaan terkawal dan tidak menjejaskan aktiviti penduduk setempat,” katanya kepada media.
Sementara itu, tinjauan di Stesen Pelabuhan Klang juga mendapati keadaan terkawal dengan penduduk setempat dapat menjalankan aktiviti harian seperti biasa.
Semalam, media melaporkan, penduduk daerah Klang disarankan berwaspada dengan fenomena air pasang besar dan Monsun Timur Laut yang dijangka mulai September hingga Disember ini yang boleh membawa risiko banjir dan runtuhan ban.
Ramalan bulan ini, paras air laut tertinggi di Stesen Pelabuhan Klang dijangka pada 12 September, iaitu 5.5m pada jam 7.18 pagi, manakala pada 11, 13 dan 28 September pula paras 5.4m.
Bagi daerah Kuala Langat pula, Hafisham berkata, pemantauan dijalankan bomba di Jeti Sri Tama, Pulau Carey dan Jeti Sri Tanjung Batu 9, Sijangkang.
“Keadaan air berada pada paras berjaga-jaga ketika pemantauan dijalankan sekitar jam 6.50 pagi tadi,” katanya memaklumkan, JBPM Selangor sentiasa bersiap sedia dan membuat pemantauan dari semasa ke semasa.
BHOnline