Juve diikat Salernitana

TURIN, Itali: Juventus bangkit daripada ketinggalan dua gol pada babak pertama untuk seri 2-2 berdepan Salernitana awal pagi tadi ketika Atalanta melepaskan kedudukan pendahulu Serie A selepas seri 1-1 berdepan Cremonese.

Skuad kendalian Massimiliano Allegri, Juve seri buat kali keempat musim ini tetapi satu mata yang dikongsi tidak menceritakan keadaan sebenar perlawanan yang berakhir dengan empat kad merah.

Ia berlaku selepas jaringan penyamaan minit-minit akhir Arkadiusz Milik tidak dibenarkan selepas melihat rakaman VAR.

Penyerang Poland itu menggembirakan Stadium Allianz menerusi tandukan lima minit sebelum tamat tetapi gol berkenaan dibatalkan kerana Leonardo Bonucci dikatakan ofsaid dan mengganggu perlawanan.

Bonucci bagaimanapun menyamakan kedudukan pada minit akhir perlawanan.

Milik diberikan kad kuning kedua selepas menanggalkan baju selepas jaringannya yang dibatalkan itu dan kemudian diikuti Juan Cuadrado, pertahanan Salernitana, Federico Fazio dan Allegri semuanya dibuang padang selepas berlaku pergaduhan di tepi padang.

Allegri kemudian meminta untuk semua pihak melihat semula rakaman membabitkan Antonio Candreva, yang dikatakan berada berdekatan sudut yang menyebabkan semua pemain berada dalam keadaan tidak ofsaid.

“Kami masih belum melihat video itu, bagaimana jika semua orang tidak ofsaid? Kami tiada video itu, tiada siapa ada, jadi saya tidak tahu,” katanya kepada DAZN.

Salernitana kini di kedudukan ke-10 dengan tujuh mata, tiga mata di belakang Juve yang masih belum tewas namun bergelut dengan kecederaan dan prestasi tidak menentu pada awal musim.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker