Kebakaran bengkel kenderaan IPK Kedah tiada unsur khianat



ALOR SETAR: Polis Kedah mengesahkan kebakaran di bengkel kenderaan di Pejabat Kejuruteraan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini, tiada unsur jenayah atau perbuatan khianat.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari, berkata siasatan awal pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mendapati ia dipercayai berlaku akibat litar pintas.

Beliau turut mengesahkan 10 kenderaan dalam bengkel dan lima motosikal berkuasa tinggi itu adalah milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang diselenggara.

“Namun saya ucapkan terima kasih kepada pihak bomba kerana kepantasan anggota mereka berjaya menyelamatkan stor simpanan senjata yang terletak berhampiran bengkel ini, selain pejabat yang menyimpan fail dan dokumen penting PDRM.



“Saya dimaklumkan ada beberapa letupan kecil sebelum kebakaran berlaku dan kita sedang menyiasat perkara itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran di IPK Kedah, hari ini.

Mohd Roze berkata, bangunan bengkel itu sudah lama beroperasi iaitu lebih 40 tahun berbanding Menara IPK yang masih baharu.

Beliau berkata, siasatan masih dilakukan oleh pihak bomba untuk mencari punca sebenar kebakaran.

“Kita bersyukur kerana empat anggota yang bertugas di bengkel ketika kejadian berjaya menyelamatkan diri,” katanya.



Media melaporkan sekurang-kurangnya 10 kereta dan lima motosikal berkuasa tinggi musnah dalam kebakaran di bengkel kenderaan IPK Kedah, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan berhubung kebakaran pada jam 4.53 pagi tadi.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker