Kerajaan digesa permudahkan orang ramai untuk lapor kes pornografi kanak-kanak

Gambar hiasan.

Kerajaan digesa untuk memudahkan orang ramai melaporkan pornografi kanak-kanak secara dalam talian.

Pengarah Eksekutif Childline Foundation, Wong Poai Hong berkata, kurangnya kerahsiaan dalam membuat aduan mungkin menghalang mangsa atau ahli keluarga daripada membuat laporan, terutamanya jika pengadu adalah mangsa sendiri atau ahli keluarga mereka.

Wong berkata, aduan mengenai pornografi kanak-kanak boleh dibuat dalam talian melalui portal kerajaan, tetapi pengadu mungkin diminta membuat laporan polis.

Katanya, mereka mungkin berasa malu untuk berbuat demikian kerana tidak dapat merahsiakan identiti.

“Sebab itu mereka kurang selesa apabila hakikatnya mereka perlu ke balai polis.

“Sesetengah balai polis tidak mempunyai unit D11 (yang menyiasat kesalahan melibatkan jenayah seks, wanita dan kanak-kanak) atau pegawai yang terlatih dalam mengendalikan kes berkaitan kanak-kanak seperti itu,” katanya menurut portal Free Malaysia Today.

Sharmila Sekaran, yang mengetuai pertubuhan Voice of the Children berkata, pihak berkuasa perlu meyakinkan orang ramai bahawa mereka tidak akan dihukum sekiranya secara tidak sengaja menjumpai pornografi kanak-kanak.

Di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak, menjadi satu kesalahan untuk menghasilkan, mengakses, memiliki, menukar dan menjual pornografi kanak-kanak.

“Jika anda melaporkan perkara ini, adakah anda akan dianggap sebagai seseorang yang sengaja melihat imej atau video ini? Atau adakah polis akan berterima kasih atas perkhidmatan anda dan teruskan?,” katanya.

Wong dan Sharmila mengulas laporan bahawa polis telah mengenal pasti 107,764 alamat internet berdaftar Malaysia yang disyaki digunakan untuk berkongsi pornografi kanak-kanak.

© Free Malaysia Today

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker