Mat Kilau hampiri RM100 juta

Kuala Lumpur: “Sekarang, filem kita menjadi tuan di bumi sendiri,” kata pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Syamsul Yusof yang meluahkan keterujaannya apabila filem itu berjaya mencatat kutipan pecah panggung sebanyak RM97 juta.

Syamsul menerusi Instagram berkata, filem tempatan kini mampu menyaingi filem-filem dari Hollywood.

“Tak ada sesiapa yang pernah menyangka. Dari dulu, saya yakin pelakon dan pengarah filem kita mampu pergi jauh dan boleh menyaingi Hollywood dalam carta ‘All Time International Malaysia Box Office’ (Filem Antarabangsa Malaysia Pecah Panggung Sepanjang Zaman). Kita boleh.



“Dengan izin Allah, ia berlaku! Filem Mat Kilau sudah mengatasi semua filem Hollywood seperti Star Wars, The Avengers, Jurassic World, Furious 7, Spiderman dan Transformers untuk kutipan tiket di Malaysia,” katanya.

Syamsul turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokong karya-karyanya dan menyeru agar sokongan ini turut diberikan kepada karya tempatan yang lain.

“Terima kasih daripada kami, pasukan Mat Kilau dan terima kasih kerana terus menyokong karya-karya saya selama ini sejak filem pertama. Teruslah ke pawagam menonton filem Malaysia daripada semua penerbit dan pengarah filem hebat yang lain, okay? Sokong!” katanya.

Menurut Syamsul, Mat Kilau masih ditayangkan di pawagam negara ini dan tidak mustahil ia boleh mencecah kutipan sebanyak RM100 juta.



Dalam pada itu, Mat Kilau kini ditayangkan di Indonesia sejak 31 Ogos lalu.

Kejayaan itu sekali gus meletakkan Mat Kilau menjadi filem dengan kutipan tertinggi di negara ini mengatasi Avengers: End Game sebanyak RM87 juta.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button