Paras air laut di Klang, Kuala Selangor diramal cecah 5.5 meter hari ini

KUALA SELANGOR: Paras air laut di sepanjang pesisir Klang dan Kuala Selangor diramal mencecah 5.5 meter hari ini, susulan fenomena air pasang besar.

Paras air laut tertinggi itu, antaranya dijangka di Stesen Pelabuhan Klang.

Bagaimanapun, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, setakat hari ini kawasan sekitar Klang dan Kuala Selangor masih terkawal.

“Paras air laut hari ini di beberapa lokasi di Klang adalah 5.4 meter, yang lain sekitar tiga meter sahaja. Paling tinggi (5.4 meter) hanya di Kuala Selangor dan Klang sebab ia berdekatan.

“Semua dalam keadaan terkawal kerana tidak hujan setakat ini, kerana jika hujan kemungkinan besar akan ada pemindahan mangsa banjir sebab aliran air hujan tak dapat keluar ke laut,” katanya hari ini.

Hafisham berkata, sebanyak 10 Balai Bomba dan Penyelamat di daerah Klang dan Selangor sudah digerakkan untuk menjalankan pemantauan sepanjang fenomena air pasang besar membabitkan kira-kira 100 anggota, yang bersiap siaga bagi pemindahan mangsa jika berlaku bencana banjir.

“Penduduk sebenarnya mereka pun telah dimaklumkan lebih awal juga, dan kita telah sarankan untuk berpindah sekiranya berlaku hujan lebat ketika air pasang besar.

“Diingatkan juga, hanya peralatan yang penting sahaja dibawa jika berlaku banjir nanti,” katanya.

Sementara itu Ketua Balai Bomba Kuala Selangor, Ismail Zakariya ketika dihubungi berkata, jangkaan kemuncak air pasang besar hari ini adalah pada jam 6.54 petang dengan anggaran pada paras 5.1 meter.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker