Peniaga kecil Indonesia terjejas teruk akibat kenaikan harga bahan bakar

Peniaga kecil Indonesia terjejas teruk akibat kenaikan harga bahan bakar

Peniaga kecil Indonesia terjejas teruk akibat kenaikan harga bahan bakar
KESESAKAN lalu lintas ketika waktu puncak di Jakarta, Indonesia, sehari sebelum kerajaan mengumumkan kenaikan bahan bakar pada 31 Ogos lalu. – AFP

JAKARTA: Zainal Ridho, 41, mempunyai syarikat perkhidmatan sewa kenderaan di Banjarmasin, Kalimantan Selatan.

Sebelum ini, kadar sewaan bagi kenderaan jenis Toyota Innova, termasuk bahan bakar bersubsidi Pertalite adalah sebanyak 800,000 rupiah (RM242) sehari.

Pada minggu lalu, Zainal menaikkan harga sewaan kepada 900,000 rupiah (RM272) sehari, selepas timbul desas-desus menyatakan kerajaan mahu menaikkan harga bahan bakar bersubsidi.

“Saya perlu terangkan kepada pelanggan kenapa saya perlu menaikkan harga sewaan. Situasi ini bukan mudah kerana sudah tentu ramai pelanggan enggan membayar lebih dan mahukan harga lama,” katanya.

Lebih parah, kira-kira 20 pekerjanya turut meminta gaji mereka dinaikkan kerana kos perbelanjaan meningkat susulan kenaikan harga petrol.

Seperti yang dijangka Zainal dan ramai rakyat Indonesia, kerajaan negara ini akhirnya mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 30 peratus berikutan lonjakan harga bahan bakar di peringkat global.

Pentadbiran Joko Widodo (Jokowi) menjelaskan, kenaikan itu perlu dilakukan bagi mengelakkan lonjakan perbelanjaan subsidi negara.


DISYORKAN UNTUK ANDA :


Jokowi memaklumkan, bajet subsidi tenaga meningkat sehingga 502.4 trilion (RM152 bilion) tahun ini berbanding 152.5 trilion rupiah (RM46 bilion) pada tahun lalu.

Kerajaan turut menjangkakan kenaikan harga bahan api akan meningkatkan kadar inflasi kepada kira-kira 6.6 peratus daripada 4.69 peratus pada masa ini.

Bagi ‘meredakan kemarahan rakyat’, kerajaan mengumumkan bantuan wang tunai kepada 20 juta isi rumah berpendapatan rendah.

“Kerajaan akan menyalurkan bantuan kewangan sebanyak 150,000 rupiah (RM45.50) setiap bulan bermula September ini selama empat bulan kepada 20.65 juta keluarga miskin di seluruh negara,” kata Jokowi.

Namun, langkah tersebut nampaknya tidak dapat meredakan rasa tidak puas hati kebanyakan masyarakat apabila mereka melancarkan protes di bandar utama di seluruh negara.

PENIAGA KECIL PALING TERJEJAS

Bagi kebanyakan syarikat kecil, termasuk peniaga, mereka mula merasai kesan kenaikan tersebut.

Seorang lagi pemilik syarikat kereta sewa di Timika, Papua Tengah, Arifin memberitahu, biasanya dia akan membeli petrol pada harga 250,000 rupiah (RM75) sehari sebelum ini, namun kini dia perlu membelanjakan 350,000 (RM106) bagi mendapatkan bahan bakar tersebut.

“Apa pilihan yang kami ada? Jika naikkan harga sewa, tiada pelanggan mahu gunakan perkhidmatan kami.

“Tapi, jika tidak naikkan, kami sebagai pengusaha pula tidak tahan dengan kenaikan ini, malah merugikan kami,” ujarnya.

Sehubungan itu, Arifin memberitahu, dia dan keluarganya terpaksa mengehadkan perbelanjaan harian, selain terpaksa mengekalkan kadar sewaan pada harga lama kerana tidak mahu kehilangan pelanggan.

Bagi Rita Suryaningsih yang merupakan usahawan di Makassar, Sulawesi Selatan, kenaikan harga bahan bakar menyebabkan kos pengedaran produknya terjejas teruk.

Wanita itu mengusahakan minuman tradisional berasaskan halia dan mengedarkan produknya menggunakan kenderaan darat kepada para peniaga.

“Biasanya, saya mengedarkan barangan menggunakan perkhidmatan kurier yang membelanjakan 35,000 rupiah (RM10.62) setiap hari. Namun, kini, mereka mengeluarkan 50,000 rupiah (RM15) sehari.

“Jika saya tidak mengedarkan produk, bagaimana saya mahu dapat untung? Saya berharap pengusaha seperti kami dapat bertahan dalam situasi ini,” ujarnya.

BIMBANG MASA DEPAN

Selain khuatir dengan keadaan semasa, apa yang lebih membimbangkan kebanyakan rakyat Indonesia adalah kenaikan harga barangan asas yang mungkin ‘tidak dapat ditanggung’ pada masa akan datang.

Rina Hasibuan dari Medan, Sumatera Utara yang menjual kopi buatan sendiri bimbang jika kenaikan harga bahan bakar ini meningkatkan harga bahan mentah yang diperlukannya untuk hasilkan kopi jualannya.

“Makin tinggi harga bahan mentah, maka makin tinggi harga jualan produk. Bila harga produk tinggi, maka semakin sedikitlah pelanggan yang membelinya. Hal ini amat merunsingkan saya,” keluhnya.

PERLU ADAPTASI

Sementara itu, Pengerusi Perniagaan Mikro, Kecil dan Sederhana Indonesia, Hermawati Setyorinny berkata, golongan tersebut tidak mempunyai pilihan selain perlu mengadaptasi keadaan semasa.

“Kita perlu mencari strategi. Terdapat beberapa pilihan yang kita boleh lakukan, sama ada meningkatkan sedikit harga jualan atau kekal pada harga yang sama tetapi perlu menanggung sedikit kerugian.

“Perkara paling wajar dilakukan adalah menaikkan sedikit harga kerana untuk apa berniaga jika setiap masa rugi?” soalnya.

Selain itu, Kementerian Koperasi dan Perniagaan Kecil dan Sederhana memaklumkan, pihaknya sudah meminta Kementerian Kewangan menyalurkan bantuan kepada golongan peniaga tersebut.

“Kami mencadangkan supaya 12.8 juta peniaga mikro menerima bantuan kewangan 600,000 rupiah (RM181) setiap bulan untuk meringankan beban mereka,” kata pegawai kanan Eddy Satria. – CNA

Tidak benar sama sekali

Peniaga kecil Indonesia terjejas teruk akibat kenaikan harga bahan bakar


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :


Percepat PRU, elak niat jahat pembangkang

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker