Tanah mendap, kereta api penumpang ke JB Sentral tergendala

27/12/2020 02:41 AM

JOHOR BAHRU, 26 Dis — Perkhidmatan kereta api dengan 24 penumpang dari Stesen Gemas ke Stesen Johor Bahru (JB) Sentral tergendala akibat mendapan tanah di landasan kereta api berhampiran Kempas dekat sini, malam ini.

Kejadian mendapan di KM753 itu berlaku di kawasan berhampiran tapak Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) dan dipercayai ekoran hujan lebat petang tadi yang menjejaskan perjalanan tren di antara Stesen Gemas dan Stesen Johor Bahru Sentral.

Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Mohd Rani Hisham Samsudin berkata berikutan kejadian itu, tren tersebut terpaksa dihentikan sebelum kawasan kejadian.



“Semua penumpang telah dipindahkan dengan bas bagi meneruskan perjalanan ke Stesen JB Sentral.

“Ketika ini, perkhidmatan tren akan ditamatkan di Stesen Kempas Bahru dan para penumpang akan disediakan kenderaan perantaraan bagi meneruskan perjalanan ke Stesen JB Sentral dan sebaliknya,” katanya menerusi kenyataan, malam ini.

Mohd Rani Hisham berkata kerja-kerja pemulihan trek sedang giat dijalankan di kawasan terbabit.

Pihak KTMB memohon maaf kepada penumpang yang terlibat dalam kejadian itu dan sebarang maklumat akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Mohd Padzli Mohd Zain berkata pihaknya menerima maklumat kejadian pada 8.30 malam.

Kejadian tidak menyebabkan sebarang kecederaan, katanya.

Kereta api tergelincir di Segamat, semua penumpang selamat

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker