Usia baru 14 tahun sudah berani jadi wali nikahkan kakak

Usianya baru mencecah 14 tahun namun Mohamad Irfan Danial Mohamad Zailani berani memikul amanah sebagai wali perkahwinan kakaknya.

Keberaniannya terbukti selepas membantu menyempurnakan majlis pernikahan kakak sulung, Intan Nuranissa Mohamad Zailani, 25, yang diijabkabulkan pada 4 September lalu.

Kisah Mohamad Irfan Danial mendapat perhatian selepas videonya menjadi wali dimuat naik Liza Bakar, 50, iaitu rakan ibunya di TikTok, baru-baru ini.

Berkongsi kisah di sebalik video itu, Mohamad Irfan Danial yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jalil di sini, berkata, dia diminta menjadi wali pernikahan kakaknya sebulan sebelum majlis berlangsung.

Katanya, dia diberi tanggungjawab itu berikutan dia satu-satunya anak lelaki dalam keluarga dan layak menjadi wali bagi menggantikan bapanya, Mohamad Zailani Mohamad Jawani yang meninggal dunia pada 2015 akibat penyakit jantung.

Pada awalnya, Mohamad Irfan Danial tiada masalah melakukannya namun hampir menarik diri pada saat akhir kerana tidak yakin.

“Masa minta (jadi wali), saya okey saja. Tetapi ketika tiba hari pernikahan, saya gementar.

“Bagaimanapun, saya buat juga (menjadi wali) dengan dibantu ustaz yang memberikan teks akad nikah untuk dibacakan.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Saya sebak bercampur gembira selepas menyempurnakan tugas itu. Sedih kerana kakak tidak lagi tinggal bersama kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, Intan Nuranissa tidak menyangka adiknya bersetuju menjadi wali majlis pernikahannya kerana enggan melakukannya pada peringkat awal.

“Adik kata tak nak (jadi wali) sebelumnya. Jadi saya dan suami (Amir Luqman Aminullah, 25) sedia cari jurunikah lain sebagai pengganti.

“Pagi itu (hari pernikahan), baru dia bersetuju dan ia mengejutkan kami.

“Ketika akad nikah, saya nampak dan dengar suaranya sebak. Automatik, saya dan ahli keluarga lain ikut sebak,” katanya.

Menurut Intan Nuranissa, dia bersyukur kerana majlis akad nikah berjalan lancar dan kagum dengan keberanian adik bongsu itu.

Bagaimanapun, Intan Nuranissa tidak menyangka video majlis akad nikah itu tular di laman sosial.

“Apabila baca ruangan komen, saya nampak ramai tulis kata positif jadi gembira dan berterima kasih kepada semua yang mendoakan saya sekeluarga,” katanya.

© Harian Metro 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker