Aprena Manrose dan suami reda untuk mendapatkan cahaya mata

 

Oleh Pena Merah

Aprena Manrose dan suami reda untuk mendapatkan cahaya mata
Aprena Manrose reda masih belum dikurniakan zuriat selepas enam tahun mendirikan rumah tangga.

Sudah ikhtiar bermacam cara, pelakon Aprena Manrose dan suami, Mohd. Afiq Hazman mengakui mereka kini dalam fasa reda untuk mendapatkan cahaya mata.

Begitupun, Aprena atau nama lengkapnya Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, 31, berkata, bukan bermaksud mereka berputus asa, sebaliknya hanya yakin dengan ketentuan Allah.



“Kalau bercakap soal zuriat ni, saya buat Persenyawaan In Vitro (IVF) kira-kira dua tahun lalu dan berehat hampir setahun daripada dunia lakonan kerana proses rawatan itu memerlukan saya tidak terlalu lasak.

“Selepas buat pemeriksaan, doktor sahkan rawatan IVF tidak berjaya dan ketika itu, saya dan suami sangat kecewa.

“Kemudian kami lebih kepada reda dan pasrah, tiada zuriat pun tak mengapa. Bukanlah putus asa, tapi, mungkin Allah nak berikan anak di akhirat sana,” katanya kepada Kosmo! Online, baru-baru ini.

Meletakkan keyakinan 100 peratus kepada ketentuan Ilahi , Aprena memberitahu, dia dan suami akan terus berusaha mendapatkan cahaya mata secara semula jadi sementera jadual kerjanya tidak terlalu padat.



“Saya yakin Allah berikan ikut apa yang kita mahukan juga. Sebelum ini, sejujurnya, memang tiada cuti.

“Selepas bertudung, saya ada keinginan untuk lebih santai sebab mungkin bila terlalu sibuk menyebabkan sukar hamil, ditambah hormon tak betul.

“Jadi, bila dah ada masa sekarang, insya-Allah, kalau semua cara rawatan tak menjadi, kita boleh cuba cara alami. Kita tak tahu, tapi Allah tahu bila masa yang sesuai,” ujarnya tersenyum.

Aprena dan suaminya mendirikan rumah tangga pada 2016.



Sempena Ramadan, Aprena muncul dalam drama bersiri berjudul Helo, Saya Anak Uncle! yang menggandingkannya dengan Izzue Islam serta Zara Zya, Rania Amanda dan Raden Zaharatul. – Kosmo Online.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button