Bekas penjaga gol Liverpool sertai Newcastle

LONDON: Newcastle menandatangani bekas penjaga gol Liverpool, Loris Karius dengan kontrak jangka pendek sebagai langkah berjaga-jaga dan perlindungan buat Nick Pope selepas Karl Darlow cedera.

Penjaga gol dari Jerman itu yang menjadi ejen bebas selepas meninggalkan Liverpool Jun lalu, bersetuju menandatangani kontrak hingga Januari dengan pilihan kekal sehingga tamat musim.

Kehadiran penjaga gawang berusia 29 tahun itu susulan kecederaan buku lali yang dialami Darlow ketika latihan.

“Kami berbesar hati dengan kehadiran Loris dalam senarai penjaga gol,” kata pengurus Newcastle, Eddie Howe.

“Dia adalah penjaga gol yang baik dengan pengalaman beraksi dalam Liga Perdana dan Eropah sekali gus mampu memberi saingan dan sokongan dalam bahagian penting musim ini.”

Karius sebelum ini adalah penjaga gol utama di bawah kendalian Jurgen Klopp tetapi tidak lagi beraksi buat kelab selepas melakukan kesilapan besar yang menyebabkan gawangnya dibolosi dua gol ketika The Reds tewas 3-1 kepada Real Madrid pada final Liga Juara-Juara 2018.

Penjaga gol itu berkata dia teruja untuk berpindah ke St James’ Park.

“Newcastle memiliki pengurus yang hebat dan bermain bola sepak yang menarik,” katanya.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker