Ferrari kecewa dengan tindakan FIA yang halang kemenangan di Monza

MONZA, Itali – Prinsipal Ferrari, Mattia Binotto kecewa selepas impian mereka untuk melakar kemenangan di laman sendiri pada Grand Prix (GP) Itali musnah selepas perlumbaan Formula Satu (F1) berakhir di belakang kereta keselamatan.

Binotto menegaskan, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) harus bertindak lebih baik terutama melibatkan kereta ke­selamatan yang dilihat menjadi punca kegagalan Ferrari yang sekadar menamatkan perlumbaan tempat kedua di Monza.

Dalam perlumbaan 53 pusi­ngan itu, pelumba Ferrari, Charles Leclerc yang memulakan saingan di petak utama melakukan aksi terbaik untuk mengekang Max Verstappen daripada terus melakar kemenangan.

Namun, segalanya berubah selepas jentera Daniel Ricciardo mengalami masalah enjin dan tersadai di tepi trek hingga menyebabkan kereta keselamatan mengambil alih saingan hingga tamat perlumbaan.



Keputusan itu menyaksikan pelumba Red Bull, Verstappen menafikan hasrat Leclerc di Monza sekali gus mengukuhkan kedudukan keseluruhan dan ­berpeluang untuk merangkul gelaran dunia F1 dua kali berturut-turut.

“FIA sepatutnya melakukan kerja yang lebih baik terutama melibatkan kereta keselamatan di GP Itali.

“Saya tidak faham kenapa mereka mengambil keputusan lewat dan menunggu terlalu lama untuk melepaskan kereta ke­selamatan.

“Saya tahu terdapat banyak perubahan dilakukan dan peraturan baharu turut dibincangkan, terutamanya selepas Abu Dhabi tahun lepas.



“Jadi, saya tidak fikir ia adalah soal peraturan kali ini. FIA hanya perlu melakukan kerja lebih baik dengan setiap peraturan yang diputuskan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker