Hafizh Syahrin gagal raih mata WSBK

KUALA LUMPUR: Perlumbaan Pusingan 7 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) tidak berlangsung dengan baik buat pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah selepas berjaya mengumpul mata di pusingan sebelumnya di Republik Czech, Julai lalu.

Momentum penamat di tempat ke-12 di Litar Most Autodrom di Czech tidak dapat diteruskan di Pusingan 7 yang berlangsung Nevers Magny-Cours, Perancis apabila menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-20, Superpole (di tempat ke-17) dan Perlumbaan 2 (di tempat ke-19).

Begitupun pelumba MIE Racing Honda Team itu tetap berpuas hati dengan peningkatan yang dipamerkan dalam setiap sesi perlumbaan dan kini mengharapkan keputusan lebih baik dapat dijelmakan pada pusingan seterusnya di Litar Catalunya, Sepanyol dari 23 hingga 25 September ini.

“Kami sangat hampir dengan zon kutipan mata dalam Perlumbaan 2 dan saya fikir, saya mampu meraih satu atau dua mata sekali lagi. Malangnya, pada baki enam pusingan terakhir perlumbaan, saya hilang kawalan di bahagian depan pada Turn 13.

“Saya kembali berada dalam saingan tetapi sudah tentu saya hilang peluang untuk berada dalam kelompok penamat 15 terbaik,” kata Hafizh yang kini sudah mengumpul empat mata untuk berada di tangga ke-23 keseluruhan.

“Terima kasih kepada kru yang sudah berusaha gigih, kami melakukan peningkatan di setiap sesi dan saya mula dapat merasai keyakinan dan peningkatan rentak. Apapun, kami masih bermotivasi dan menantikan saingan seterusnya di Barcelona, salah satu trek kegemaran saya.”

Pelumba Aruba.it Racing – Ducati, Alvaro Bautista mendahului carta pelumba bagi kelas perdana dengan ketika ini sudah mengumpul 332 mata manakal Toprak Razgatlioglu (Pata Yamaha with Brixx WorldSBK) di kedudukan kedua, 302 mata.

Pelumba Kawasaki Racing Team WorldSBK, Jonathan Rea pula berada di kedudukan ketiga dengan 285 mata di kala kempen 2022 kini berbaki lima pusingan lagi.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker