12 individu rugi RM460,179 ditipu skim pelaburan

Oleh – Syeikh Baran


12 individu rugi RM460,179 ditipu skim pelaburan
Sebanyak 393 laporan polis diterima dalam tempoh tidak sampai sebulan bermula 1 hingga 27 Januari tahun ini dengan jumlah kerugian RM1.4 juta. – Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: Mazli)

Polis Terengganu membuka tiga kertas siasatan susulan penahanan tiga lelaki dan seorang wanita disyaki terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan sehingga menyebabkan kerugian ratusan ribu ringgit.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, empat suspek berkenaan ditahan dalam Op Nuri pada Sabtu lalu susulan 12 laporan polis diterima daripada mangsa yang mendakwa diperdaya oleh sindiket berkenaan menyebabkan kerugian sehingga RM460,179.

Menurutnya, kesemua mangsa mendakwa telah dimasukkan ke dalam grup kumpulan sembang menerusi aplikasi Telegram sebelum didedahkan kepada skim pelaburan dipromosikan oleh dua syarikat yang kononnya dikatakan dapat memberikan keuntungan berganda.



“Mangsa kemudiannya diminta untuk membuat penambahan bayaran bagi pelbagai tujuan untuk meningkatkan keuntungan.

“Mangsa yang terpedaya telah membuat pindahan wang berjumlah RM35,300 ke dalam lima akaun berbeza dengan enam kali transaksi,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelas beliau, mangsa juga diperdaya oleh suspek dengan mengatakan syarikat berkenaan stabil kerana mempunyai rangkaian perniagaan di Malaysia, Indonesia dan Brunei serta tersenarai dalam Bursa Malaysia selain turut mempunyai aset sebanyak RM3 bilion.

“Modus operandi penipuan pelaburan ini dilakukan dengan mengambil deposit pelaburan melalui MPay bagi setiap pakej pelaburan yang ditawarkan.



“Terdapat tiga pakej pelaburan yang ditawarkan bermula pada harga RM500 sehingga RM30,000 dengan kadar keuntungan 3 hingga 6 peratus, kononnya untuk dilaburkan dalam pelbagai perniagaan antaranya rokok kretek, pembinaan rumah dan kondominium.

“Kita telah merampas empat telefon bimbit pelbagai jenama bersama suspek yang dijadikan bahan bukti terhadap kerja-kerja jenayah yang dilakukan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mazli berkata, sebanyak 393 laporan polis diterima dalam tempoh tidak sampai sebulan bermula 1 hingga 27 Januari tahun ini, melibatkan kes jenayah komersial (penipuan) dengan jumlah kerugian RM1.4 juta.

“Terdapat penurunan 8.4 peratus (36 kes) bagi laporan membabitkan jenayah ini dalam tempoh yang sama berbanding tahun lalu dan kita telah membuka sebanyak 94 kertas siasatan berhubung kes berkenaan.

“Sehubungan itu, orang ramai diminta lebih peka dan berhati-hati serta membuat semakan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan,” katanya.

Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker