Menaikkan OPR Bukan Satu-Satunya Penyelesaian Kejatuhan Ringgit

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan apabila rakyat hilang percaya, maka ekonomi akan runtuh binasa.

Beliau berkata demikian berikutan kebimbangannya dengan trend kejatuhan nilai Ringgit berbanding Dollar yang berlaku sekarang termasuk langkah menaikkan kadar faedah (OPR).

“Walaupun masih belum seteruk awal 1998, tapi kadar RM4.52 = USD1 ini sudah tentu memberi kesan besar kepada harga barang terutama dari luar negara.

“Istilah ini kita panggil sebagai imported inflation. Kita mungkin tidak perasan pada peringkat awalnya kerana masih berjual beli dengan Ringgit. Tetapi situasi ini secara perlahan lahan akan menyebabkan kenaikan barang sehinggalah pengguna merasa terjerut akhirnya.



“Saya kira sudah sampai masanya satu tindakan drastik dibuat. Langkah menaikkan kadar faedah (OPR) nampaknya kurang berkesan untuk menaikkan semula nilai Ringgit.”

Katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya, antara langkah yang dilihat boleh dibuat adalah dengan mengenal pasti semula barangan keperluan import yang terkesan disebabkan kejatuhan nilai Ringgit.

“Contohnya produk-produk berasaskan tepung. Dengan pengenalpastian ini, kerajaan boleh melaksanakan kaedah-kaedah pengurangan kos dalam jangka pendek seperti penghapusan duti import secara sementara.

“Langkah ini sudah tentu akan memerlukan tindakan bersepadu daripada Jabatan Perdana Menteri, KPDNHEP, Kementerian Kewangan dan MITI.



“Saya sebenarnya bimbang apabila rakyat mula melihat usaha-usaha kerajaan selama ini sebagai retorik. Sebab kita dilihat seolah olah hanya menumpukan kawalan kepada harga minyak dan ayam. Sedangkan hakikatnya kelangsungan hidup jauh lebih besar daripada itu,” katanya.

Jelas beliau, langkah menaikkan semula nilai Ringgit juga mesti diperkasakan supaya kesan ‘imported inflation’ ini dapat dikurangkan.

“Jika sekiranya kerajaan masih percaya matawang kita boleh dipulihkan dengan menaikkan kadar faedah, maka saya minta agar satu kaedah pengecualian/subsidi ke atas industri PKS dan rakyat M40 ke bawah hendaklah dipertimbangkan.

“Dalam keadaan hari ini, kita tidak wajar mengurangkan kuasa beli rakyat kerana ia bertentangan dengan polisi pemulihan ekonomi negara. Kerana ekonomi setiap negara itu terasnya datang daripada keyakinan rakyat mereka,” katanya lagi.

UMNO Online

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker