Noh Omar ingatkan Rafizi lihat nasib yang bakal menimpa PKR dulu

PUTRAJAYA – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar mengingatkan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli agar tidak menyibuk perihal parti lain.

Noh sebaliknya berkata, seharusnya Rafizi melihat PKR yang hampir terkubur di tiga negeri.

“Beritahu Rafizi, Johor, Melaka dan Sarawak (PKR) dah nak terkubur. Tengok kubur PKR dululah,” katanya ketika sidang akhbar selepas penyampaian pelantikan anggota Jawatankuasa Pembangunan dan keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Selangor di Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.



Beliau berkata demikian mengulas mengenai ramalan Rafizi dalam program Ceramah Rapat Mega Keadilan bahawa UMNO dan BN akan terkubur dalam tempoh enam tahun lagi.

Bekas ahli Parlimen Pandan itu dilaporkan berkata, adalah mustahil untuk UMNO yang sudah rosak boleh membina semula kekuatan dari bawah.

Menurut Noh, Rafizi sepatutnya berhenti daripada memperdayakan rakyat.

“Dulu pun dia pernah kata (UMNO akan terkubur), kasihan kat dialah. Cukup-cukuplah Rafizi menipu rakyat,” katanya.



Sementara itu, mengulas tanggapan Pas bahawa UMNO sebagai rakan ta’awun (kerjasama), Mahdzir berkata, keputusan berhubung perkara itu akan diputuskan oleh Biro Politik UMNO.

“UMNO ini ada struktur, apa-apa keputusan perlu balik kepada parti.

“Saya tidak mahu membuat apa-apa kesimpulan. Kita serahkan kepada biro politik,” katanya.

Pas pada Ahad kekal menganggap semua pihak yang bernaung di bawah gagasan penyatuan ummah termasuk UMNO sebagai rakan ta’awun terutama dalam membina negara yang baik dan diredai tuhan.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, UMNO perlu bergerak ke depan memandangkan Pas hanya menawarkan kerjasama politik yang disifatkan ‘dangkal’ dalam Muafakat Nasional (MN).

© Sinar Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker