Permohonan parol oleh pembunuh John Lennon ditolak kali ke-12

NEW YORK, Amerika Syarikat – Permohonan parol lelaki yang menembak mati John Lennon di luar apartmen di Manhattan di sini, pada 1980, ditolak 12 kali.

Keputusan mengenai permohonan parol dikeluarkan Pejabat Koreksional New York, Isnin lalu.

Mark David Chapman, 67, hadir di hadapan Lembaga Parol pada akhir Ogos lalu, menurut Jabatan Koreksional dan Penyeliaan Komuniti negeri.

Chapman menembak dan membunuh Lennon pada 8 Disember 1980 ketika penyanyi itu dan Yoko Ono kembali ke pangsapuri Upper West Side.

Sebelum itu, Lennon dikatakan sempat menandatangani autograf untuk Chapman pada salinan albumnya Double Fantasy.

Lennon sempat menyertai pelancaran album berkenaan yang diadakan pada hari kejadian.

Pegawai negeri masih belum membuat transkrip temu bual antara Lembaga Parol dan Chapman.

Namun, tertuduh dikatakan berulang kali menyatakan kekesalan dalam perbicaraan parol sebelum ini.

Chapman menyifatkan tindakannya sesuatu yang keji ketika prosiding pendengaran pada 2020.

Beliau berkata, dia tiada sebarang halangan jika pihak Lembaga Parol memilih untuk menolak rayuan dan dia dipenjarakan sepanjang hayat.

“Saya membunuhnya kerana dia sangat, terkenal dan sebab saya sangat mementingkan diri sendiri,” katanya.

Chapman sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun hingga seumur hidup di Kemudahan Koreksional Green Haven, utara New York.

Dia seterusnya akan hadir di hadapan Lembaga Parol pada Februari 2024.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker