Amerika buat pusingan U, enggan gunakan kuasa veto

Oleh – Syeikh Baran


Amerika buat pusingan U, enggan gunakan kuasa veto
DUTA AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield memilih berkecuali pada sesi undian menggesa gencatan senjata Gaza di ibu pejabat PBB, New York kelmarin. – AFP

Israel berang kerana Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi menuntut ‘gencatan senjata segera’ dilaksanakan di Gaza.

Resolusi itu diluluskan tanpa bantahan sekutu paling rapat Rejim Zionis, Amerika Syarikat(AS) ketika pertempuran sengit di Semenanjung Gaza berte­rusan.

AS menegaskan bahawa tindakan tidak membantah resousi itu bukan menandakan peralihan dalam dasar luarnya. Namun, pendirian Washington semakin tegas terhadap Israel sejak kebelakangan ini.



Ketiadaan kuasa veto AS bermakna resolusi itu mendapat persetujuan semua 14 anggota Majlis Keselamatan yang lain.

Ia menuntut ‘gencatan senjata segera’ semasa bulan suci Ramadan yang membawa kepada gencatan senjata ‘berkekalan’.

Resolusi itu mendapat tepukan gemuruh dalam Majlis Keselamatan yang biasanya tenang. Selain gencatan senjata, ia menuntut Hamas dan pejuang Palestin lain membebaskan tebusan Israel yang mereka tawan.

Selepas sesi pengundian selesai, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengetuai gesaan supaya resolusi tersebut dilaksanakan segera.



“Kegagalan berbuat demikian tidak boleh dimaafkan,” katanya di platform X.

Susulan perkembangan itu, Israel membatalkan lawatan delegasinya ke Washington bagi membincangkan kebimbangan berhubung pelan serangan darat Israel ke atas bandar Rafah yang sesak di selatan Gaza.

Israel berkata, pendirian ber­kecuali AS dalam sesi pengun­dian kelmarin ‘menjejaskan’ usa­ha perang Rejim Zionis dan cubaan untuk membebaskan tebusan.

“Ia jelas bercanggah daripada pendirian konsisten Washington sebelum ini ,” kata pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Ketika tumpuan diplomatik beralih ke New York, pertempuran sengit berterusan di serata Semenanjung Gaza termasuk tentera Israel menggempur sekurang-kurangnya dua hospital utama.

Di utara Gaza, pesawat-pesawat tentera asing sekali lagi menggugurkan bantuan dalam misi ‘airdrop’ di mana situasi kemanusiaan kini amat meruncing.

“Penduduk di utara Gaza berdepan kebuluran,” kata Mohamad al-Sabaawi. Dia seperti penduduk Palestin yang lain, bergegas ke pantai untuk mengharapkan sesuatu yang terapung. Dia kemudian berlalu pergi sambil membawa tin kuning kecil berisi ikan.

Perang Gaza meletus selepas serangan di luar jangkaan oleh Hamas pada 7 Oktober yang mengakibatkan kira-kira 1,160 kematian di Israel.

Kumpulan Hamas turut menawan 250 tebusan dan Israel percaya kira-kira 130 tebusan masih ditahan di Gaza, termasuk 33 yang dianggap sudah mati.

Bersumpah untuk menghapuskan Hamas dan membebaskan rakyatnya, Israel melakukan pengeboman tanpa henti dan pencerobohan darat ke atas Semenanjung Gaza.

Kementerian kesihatan di Semenanjung Gaza kelmarin meletakkan angka korban rakyat Palestin adalah seramai 32,333 orang dengan kebanyakan mereka wanita dan kanak-kanak.

Sementara itu, Hamas meng­alu-alukan resolusi Majlis Kese­lamatan dan mengesahkan kesediaannya untuk merundingkan pembebasan tebusan sebagai pertukaran untuk tawanan Pa­lestin yang ditahan Israel.

Di wilayah Tebing Barat pula, Pihak Berkuasa Palestin (PA) turut mengalu-alukan keputusan tersebut. Pegawai kanan PA, Hussein al-Sheikh menggesa ‘penamatan kekal perang ini dan pengunduran segera Israel dari Semenanjung Gaza’.

Negara anggota PBB wajib mematuhi resolusi yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan.

Ketua Kesatuan Eropah, Ursula von der Leyen berkata, pelaksanaan resolusi itu ‘penting untuk melindungi semua orang awam’, manakala jurucakap Kementerian Luar Jordan, Sufyan Qudah memberitahu, ‘Israel wajib patuh keputusan Majlis Kese­lamatan’.

Resolusi itu diluluskan ketika Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant melawat Washington.

“Kami tidak mempunyai hak moral untuk menghentikan pe­rang sementara masih ada tebusan yang ditahan di Gaza,” katanya selepas sesi pengundian.

Ketegangan antara AS dan Israel semakin meningkat di samping kebimbangan Washington mengenai kesan perang itu terhadap orang awam di Gaza, di mana PBB mengatakan bahawa kebuluran akan berlaku.

Kedegilan Netanyahu untuk menyerang Rafah di mana kebanyakan pelarian Palestin sedang berlindung, telah menjadi titik perbalahan utama.

White House ‘kecewa’ dengan pembatalan delegasi Israel ke Washington tetapi Jabatan Negara berkata, pihaknya akan ‘mencari cara lain untuk memaklumkan kebimbangan mengenai rancangan pencerobohan Rafah.

Di Rafah, rakyat Palestin meng­alu-alukan undian PBB dan menggesa AS menggunakan pengaruhnya ke atas Israel supaya segera melaksanakan gencatan senjata. – AFP

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker