Seramai 12,500 orang anggota bomba bersedia hadapi kemungkinan banjir

KUANTAN – Seramai 12,500 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersedia menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, berkata anggota berkenaan dari 332 Balai Bomba dan Penyelamat seluruh negara.

Selain itu, katanya, tambahan 3,200 anggota yang bertugas pada waktu pejabat turut dikerah membantu operasi sepanjang musim tengkujuh itu.

Beliau berkata, anggota itu ialah Pegawai Penguat kuasa, Pegawai Pemeriksaan Bangunan, Pegawai Latihan, Pegawai Penyelidik dan anggota di Akademi Bomba dan Kejuruteraan Malaysia.

Bagi persiapan dan kelengkapan aset pula, katanya, sebanyak 1,808 aset membabitkan kenderaan darat, air dan udara disediakan.

“Daripada jumlah itu, 1,400 aset membabitkan kenderaan darat, 400 kenderaan dan peralatan air dan lapan helikopter.

“Kesiapsiagaan ini susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu tahap kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut diaktifkan di peringkat daerah, negeri dan nasional.

“Sekiranya sesuatu berlaku banjir ekstrem atau bencana lain yang mungkin memudaratkan kawasan terbabit, kita akan menggerakkan anggota negeri berdekatan membantu daripada segi logistik.

“Sebagai contoh, jika berlaku di Pahang, aset dari Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan akan membantu,” katanya.

Mohammad Hamdan berkata demikian selepas Majlis Perkhidmatan Cemerlang JBPM Pahang Tahun 2021 di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JBPM Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa dan Timbalan Pengarah JBPM Pahang, Mohd Zahar Abdullah.

Mengenai pangkalan hadapan yang disasarkan sebagai kawasan hot spot di negeri Pantai Timur, beliau berkata, JBPM sedang mengenal pasti kawasan yang lazim berlaku banjir.

“Kita akan menggerakkan pangkalan hadapan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia di Wakaf Tapai, Terengganu.

“Ini akademi ini boleh menempatkan pesawat, jentera berat dan logistik marin dan bot dalam memudahkan bantuan,” katanya.

© Berita Harian 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker